Cadang had umur persaraan 62 tahun
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Had umur persaraan pekerja di Malaysia dicadangkan kepada 62 tahun bagi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi sebagai bekalan selepas bersara.
Pakar Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, alasan jika pelanjutan usia persaraan bakal menyebabkan kadar pengangguran meningkat tidak relevan kerana ekonomi semasa semakin berkembang dan secara tidak langsung peluang pekerjaan terus terbuka.
“Kerajaan dicadangkan menaikkan had umur persaraan kerana kebanyakan rakyat berada di paras kemiskinan.
“Bila kita cerita tentang wang persaraan tidak cukup, mahu atau tidak kumpulan ini tetap perlu bekerja bagi memastikan kelangsungan hidup,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 416 bertajuk Potongan Kek Ekonomi Lebih Adil pada Selasa.
Sementara itu, menyentuh mengenai pemberian subsidi oleh kerajaan, Muhammed berkata, ia perkara penting bagi memastikan kumpulan layak menerima bantuan itu terus dibantu.
"Subsidi kepada yang kaya tak perlu, baik subsidi langsung seperti subsidi minyak, mahupun subsidi tidak langsung pelepasan cukai kepada mereka yang membeli EV (kenderaan elektrik) .
"Kenapa Makcik Kiah membeli Axia (Perodua Axia) kena bayar cukai, tapi orang kaya beli EV kereta yang berharga 10 kali lebih mahal tidak perlu? Hapuskan sahaja subsidi tidak masuk akal sebegini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!