Mana ada Melayu malas!
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin tidak bersetuju dengan pandangan bahawa orang Melayu malas dan menjadi antara penyebab kaum itu sukar berjaya.
Menurutnya, banyak kejayaan yang telah diperoleh kaum tersebut serta ada yang menjadi kebanggaan ramai.
"Kalau kata Melayu malas, yang malas itu adalah mereka dapat kontrak, mereka yang dapat AP tapi jual kepada pihak lain.
"(Tetapi) Melayu sampai sekarang tidak malas. Kalau kita lihat kepada sejarah Melaka dahulu, kini jadi pusat pelabuhan yang berjaya. Itu semua orang Melayu.
"Kita tengok yang naik LRT pagi-pagi, siapa? Orang Melayu. Yang jual nasi lemak, orang Melayu. Jadi kalau kata Melayu malas, itu tidak betullah," katanya pada sesi dialog bertajuk 'Keusahawanan Sebagai Aset Negara' pada Sidang Kemuncak e-Usahawan Hero Muda 2019 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan moderator yang juga seorang selebriti, Alif Satar yang meminta Daim memberikan pandangan beliau mengenai isu tersebut.
Dalam dialog sama, Daim turut berkongsi rahsia untuk seseorang itu berjaya adalah dengan banyak membaca.
Katanya, dengan cara membaca, seseorang itu dapat menambah pengetahuan selain sentiasa sedar tentang isu-isu semasa.
"Selain itu, kita juga hendaklah sentiasa berdisiplin supaya apa yang kita usahakan akan berjaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!