Konflik baharu Hamas-Israel dedah hipokrasi Barat

Pelajar di India menghasilkan lukisan untuk menzahirkan solidariti dengan penduduk Palestin yang terkorban dalam konflik terbaharu Hamas-Israel.
Pelajar di India menghasilkan lukisan untuk menzahirkan solidariti dengan penduduk Palestin yang terkorban dalam konflik terbaharu Hamas-Israel.
A
A
A

GENTING GAZA - Banyak pihak masih tidak menyangka dengan tindakan mengejut gerakan Hamas melancarkan Operasi Banjir al-Aqsa pada Sabtu lalu yang sedikit sebanyak telah menunjukkan sisi lemah rejim Zionis yang kononnya gah di mata dunia.

Ia turut mempamerkan sifat bermuka-muka kebanyakan pemimpin Barat ketika mengulas tentang konflik terbaharu Israel-Palestin tersebut.

Antara paling awal memberi respons ialah Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban di Israel.

Beliau juga dengan lantang menyatakan 'Hak untuk rejim Tel Aviv mempertahankan diri tidak boleh dipersoalkan'.

Sentimen sama ditunjukkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak.

Presiden AS, Joe Biden (kanan) berjanji untuk memberikan sokongan ketenteraan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam menghadapi kebangkitan Hamas.
Presiden AS, Joe Biden (kanan) berjanji untuk memberikan sokongan ketenteraan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam menghadapi kebangkitan Hamas.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen juga menyebut tentang 'hak' Israel untuk menangkis serangan bertalu-talu dilancarkan Hamas.

"Kesatuan Eropah (EU) sentiasa menyokong rejim Tel Aviv," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan dwistandard dan hipokrasi pemimpin Barat secara terang-terangan bagaimanapun mengundang kritikan segelintir pengguna media sosial.

Ada yang mempersoalkan hak Ukraine untuk mempertahankan diri disokong pemimpin dunia sedangkan kempen pencerobohan Rusia dikecam teruk.

Situasi tersebut itu dikatakan tidak boleh disamakan sama sekali dengan pendudukan Israel ke atas Genting Gaza dan Tebing Barat.

Sebelum ini, media Barat turut menyokong hak Ukraine untuk mempertahankan tanah air mereka, namun mereka melabel perjuangan Palestin menentang Israel sebagai 'pengganas'.

Media Barat menyokong hak Ukraine untuk mempertahankan tanah air mereka, namun melabel perjuangan Palestin menentang Israel sebagai 'pengganas'.
Media Barat menyokong hak Ukraine untuk mempertahankan tanah air mereka, namun melabel perjuangan Palestin menentang Israel sebagai 'pengganas'.

Sebagai mengutuk sikap bermuka-muka Barat, karikatur wajah seorang wanita yang memaparkan bendera Palestin dan bendera Ukraine dengan keadaan sebelah matanya tertutup telah dijadikan sebagai simbol hipokrasi Barat berhubung pandangan mereka terhadap kedua-dua konflik tersebut.

Klip wawancara Setiausaha Agung Inisiatif Kebangsaan Palestin, Mustafa Barghouti yang bertanyakan soalan retorik juga dikongsi secara meluas di media sosial.

'Mengapa AS sokong Ukraine menentang pencerobohan Rusia sedangkan mereka tetap berpihak kepada Israel yang berterusan menduduki Palestin?'

Tak peduli isu Palestin

Ia bukanlah pertama kali negara Barat berpendirian dwistandard terhadap konflik Moscow-Kiev.

Pada awal tahun lalu, Amnesty International pernah menerbitkan laporan yang memaparkan hipokrasi Barat berhubung isu hak asasi manusia global.

Setiausaha Agung pertubuhan itu, Agnes Callamard menyifatkan pendudukan ke atas wilayah Palestin adalah perkara amat penting yang perlu diberi perhatian.

"Tanpa membuat sebarang perbandingan antara konflik tersebut, ia adalah sangat jelas penduduk Palestin berada di bawah cengkaman dasar aparteid," tegasnya.

Sejak akhir minggu lalu, pengguna platform X kembali berkongsi klip lama digelar sebagai 'kemunafikan' Barat yang mendedahkan kenyataan lantang ahli Parlimen Ireland, Richard Boyd Barrett pada Mac 2022 yang menyelar pendirian dwi standard pemerintah berhubung isu Palestin dan Ukraine.

"Anda (negara Barat) sewenang-wenangnya menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin melakukan jenayah kemanusiaan, namun enggan menggunakan kekuatan bahasa sama apabila menggambarkan layanan Israel terhadap penduduk Palestin," ujar Boyd Barrett secara sinis.

Pada Ahad lalu, beliau sekali lagi mengutuk hipokrasi pemimpin Barat yang terus menyokong Ukraine, namun dalam masa yang sama memperlekehkan perjuangan Palestin.

Hakikatnya, pemimpin dan media Barat sememangnya tidak peduli dengan kesengsaraan penduduk Palestin yang ditindas secara zalim oleh rejim Zionis selama beberapa dekad.

Mereka lebih bimbang dengan kematian orang awam di Israel dan cuba memburuk-burukkan pejuang Hamas sedangkan penduduk Palestin yang terkorban dalam kempen pengeboman Israel dianggap sebagai nyawa tidak berharga.

Kebangkitan penduduk Palestin yang nekad berjuang habis-habisan pada kali ini akhirnya mendedahkan 'rupa sebenar' Barat kepada mata dunia. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!