Belum ada program untuk anak muda sebaik PLKN

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN untuk mengembalikan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendapat reaksi berbeza-beza daripada orang ramai.

Ada yang bersetuju, tidak kurang suara-suara meragui keberkesanannya.

Mula diperkenalkan pada 2004, latihan PLKN mengambil masa selama tiga bulan meliputi modul kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti.

Sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan 85,000 hingga 95,000 lepasan pelajar sekolah setahun sebelum mereka menyambung pengajian ke pusat pengajian tinggi.

PLKN yang menelan kos lebih RM600 juta setahun kemudian dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan.

Ia diperkenalkan semula pada tahun 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 setahun.

Namun, selepas kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara pada tahun 2018, PLKN dimansuhkan sepenuhnya kerana program tersebut didakwa dijadikan alat politik.

Kerajaan ketika itu bercadang untuk menggantikannya dengan program lain.

Artikel Berkaitan:

Malangnya, sehingga hari ini belum ada satu pun program setanding PLKN diwujudkan yang mampu membawa anak-anak remaja kepada semangat cintakan tanah air, mempunyai nilai-nilai murni dan keberanian.

Justeru, timbul kebimbangan terhadap jati diri generasi muda negara hari ini, malah kepesatan teknologi moden menyebabkan mereka terdedah kepada perkara negatif.

Justeru, keputusan mewujudkan semula PLKN seperti disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sidang Dewan, Isnin lalu amat dialu-alukan.

Namun, ia bukanlah seperti PLKN 1.0 atau 2.0 kerana PLKN kerangka baharu itu lebih kepada latihan ala tentera.

Sebanyak 13 kem wataniah seluruh negara dan satu kem Pusat Latihan Polis (Pulapol) sedia ada akan digunakan untuk latihan selama 45 hari yang dapat menampung 4,000 orang setahun.

Kosnya dijangka lebih menjimatkan iaitu lebih RM100 juta setahun berbanding lebih RM600 juta setahun pada PLKN sebelum ini.

Walau apa pun kritikan dihadapi, PLKN wajar diteruskan.

Cuma rakyat Malaysia berharap agar ia mencapai matlamat untuk melahirkan generasi berkualiti pada masa hadapan dan bukan bermatlamatkan politik atau mengaut keuntungan menerusi tender yang ditawarkan kelak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!