Kesian Bang Mat Sabu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

KATA orang tua-tua, tak ada beban jangan sampai batu digalas. Maksudnya kalau bukan kerja kita, jangan jadi pak sibuk.

Tapi dalam kes Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Tuk Seri Mohamad Sabu atau Bang Mat Sabu, begitulah nampaknya.

Oleh sebab Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum diisi, Bang Mat nampaknya kena kecam kiri kanan.

Ada yang tak faham pemisahan di antara dua kementerian itu. Bila Bang Mat turun padang untuk lihat sendiri krisis beras yang melanda negara, orang kata itu kerja Menteri KPDN.

Sebagai orang yang jaga keterjaminan makanan, kenalah dia lihat sendiri masalah di lapangan.

Awang pun rasa pelik juga mengapa kekosongan akibat pemergian Allahyarham Tuk Seri Sallahuddin Ayub tak diisi lagi.

Bukanlah Awang nak salahkan PM10. Maklumlah dia begitu sibuk.

Tugas sebagai PM lain, Menteri Kewangan lain, kena pikul juga tugas di Wilayah Persekutuan yang kementeriannya sudah dihapuskan.

Artikel Berkaitan:

Awang cuma nak ingatkan, negara ada krisis. Bukan sebarang krisis. Krisis kos sara hidup. Krisis kenaikan harga barang keperluan. Krisis ketiadaan beras.

Semua itu perlukan seorang menteri khusus untuk tangani masalah semasa. Tak adillah nak bebankan pada Bang Mat seorang.

SEWA BILIK 'LIANG LAHAD'

Awang terkejut baca laporan utama akhbar ini semalam pasal bilik sewa yang macam 'sangkar burung' atau 'liang lahad' kecilnya.

Bagus sangatlah pendedahan tim Sinar Harian itu. Ini pendedahan tentang satu lagi kenyataan pahit kehidupan sebahagian daripada rakyat kita.

Pada pendapat Awang, ini satu contoh eksploitasi pemilik premis untuk memerah sebanyak mungkin duit daripada penyewa.

Siapa yang tidak terkejut, premis berukuran 24 meter x 6 meter dibuat 38 bilik atau kapsul. Keadaannya amat teruk sekali.

Malah kata wartawan Sinar Harian yang menyamar untuk menyewa, 10 minit di situ pun dah sesak nafasnya.

Soalannya mengapakah penyewa sanggup menyewa bilik sebegitu?

Menurut laporan itu lagi, kebanyakan penyewanya ialah pelajar IPTS yang berdekatan dan penghantar makanan.

Mereka kebanyakannya bukan orang asing, tapi rakyat kita sendiri.

Satu masa dulu, ada pendedahan bahawa banyak gelandangan atau homeless di Kuala Lumpur merupakan mereka yang berpendapatan rendah dan tak mampu sewa bilik.

Mereka tidur di kaki lima. Ada yang bekerja sebagai pengawal, buruh, penghantar makanan dan lain-lain. Dengan cara itu, mereka dapat selamatkan duit sewa.

Awang rasa, pendedahan ini patut buka mata semua pihak. Ini adalah generasi muda kita.

Mereka nak cari sesuap nasi. Bantulah mereka semampu mungkin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!