Belanjawan 2024: Fokus industri sekuriti makanan
SHAH ALAM - Peruntukan besar perlu diberikan kepada industri keselamatan makanan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman tempatan dalam Belanjawan 2024.
Pensyarah kanan dari Universiti Malaya (UM), Dr Nur Ameera A Jaz berkata, ia penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap barang import.
Menurutnya, belanjawan kali ini juga perlu mengambil kira peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi sektor pertanian.
“Berdasarkan data tahun lalu, perbelanjaan pengurusan tinggi iaitu sebanyak RM3.28 bilion, sementara pembangunan hanya RM1.54 bilion.
“Jika ingin lihat untuk masa panjang, penekanan kepada perbelanjaan pembangunan adalah penting bagi melaksanakan lebih banyak projek pembangunan pertanian.
“Perbelanjaan besar seperti subsidi sektor padi dan beras sekitar RM2 bilion dan juga subsidi diesel dalam sektor perikanan adalah penting untuk memastikan keterjaminan makan dalam negara,” katanya.
Tambah Nur Ameera, kerajaan perlu memberi fokus kepada beberapa projek penting seperti infrastruktur pertanian, pertanian moden dan tanaman bernilai tinggi serta akuakultur.
“Infrastruktur seperti sistem pengairan perlu berfungsi dengan baik untuk ta-naman padi kerana ia membantu meningkatkan hasil.
“Laksanakan juga tanaman bernilai tinggi menggunakan konsep kilang tanaman iaitu sistem kawalan persekitaran bagi membolehkan pertumbuhan tanaman terkawal tanpa gangguan serangga dan penyakit.
“Kıta juga dapat memastikan penggunaan baja yang optimum dan penggunaan racun juga dapat dikurangkan atau mungkin dielakkan,” jelasnya.
Pada masa sama, Nur Ameera mencadangkan kerajaan mempertimbangkan inisiatif meningkatkan hasil tangkapan laut dalam dengan menggalakkan amalan perikanan yang lestari bagi memastikan kelangsungan sumber daya laut dalam bagi jangka masa panjang.
“Seterusnya, penukaran sistem rumah terbuka kepada tertutup bagi penternakan ayam juga meningkatkan hasil ternakan dengan cara lebih efisien.
“Ia juga mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan kesihatan ayam kerana tidak terdedah kepada cuaca tidak menentu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!