Thiyahu ditetak kerana larang jual dadah
SHAH ALAM - Seorang sukarelawan sosial M.Thiyahu ditetak sampai mati oleh tiga individu petang semalam semata-mata kerana beliau dianggap menjadi penghalang kepada aktiviti pengedaran dadah di Rumah Pangsa Nilam Sari Seksyen 7 di sini.
Sumber yang enggan dikenali mendakwa, kawasan rumah pangsa berkenaan merupakan ‘hot spot’ bagi pengedaran dadah, tetapi Thiyahu, 30, berazam mahu mengubah kehidupan komuniti India terutama golongan muda di situ.
“Dia (mendiang) memang ada banyak kali tegur orang untuk tidak jual dadah di sini, dan mungkin hal itu buat dia kena serang semalam.
“Semalam pun memang Thiyahu tahu ada orang cari dia sebab tidak puas hati dia larang orang jual dadah di sini dan Thiyahu dengan kawan memang sudah ‘standby’ untuk jumpa di bawah Blok 52.
“...tapi orang yang mahu datang jumpa dia bawa parang dan terus kejar dia,” kata sumber itu ketika ditemui pemberita di rumah pangsa berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki dan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang menerima rawatan.
Thiyahu dilantik oleh pejabat Adun Kota Anggerik sebagai penyelaras bagi masyarakat India di Seksyen 7.
Mendiang pernah bertanding bagi merebut jawatan anggota jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan cabang Shah Alam pada pemilihan PKR lepas.
Sehingga pukul 12 tengah hari tadi seramai empat individu berusia 20 tahun hingga 25 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu tinjauan Bernama di rumah pangsa berkenaan mendapati terdapat beberapa kumpulan pemuda meminum arak dan membuat bising di bahagian bawah rumah pangsa itu.
Penghuni di rumah pangsa berkenaan juga seakan-akan telah lali dengan keadaan tersebut dan dilihat tidak mahu masuk campur kerana risaukan keselamatan mereka sekeluarga.
Ada penghuni yang ditemui mahu pihak berkuasa seperti polis melakukan rondaan dengan lebih kerap di kawasan rumah pangsa berkenaan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penghuni lain di situ. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!