Alonso taruhan angkat kembali reputasi Sevilla
GERGASI Sepanyol, Sevilla melantik bekas pengendali Uruguay, Diego Alonso sebagai pengurus baharu Los Nervionenses sehingga akhir musim, umum kelab La Liga itu pada Rabu.
Bekas penyerang berusia 48 tahun tidak bersama Uruguay selepas gagal membawa pasukan Amerika Selatan itu melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2022 Qatar tahun lalu.
Alonso kelahiran Montevideo menggantikan Jose Luis Mendilibar, yang dipecat pada Ahad selepas membantu Sevilla keluar dari zon penyingkiran musim lalu.
Sebagai rekod, Sevilla kini bergelut di kedudukan ke-14 selepas lapan perlawanan liga teratas Sepanyol itu, menjuarai Liga Europa selepas mengatasi AS Roma, 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada 1 Jun lalu.
"Sevilla FC dan Diego Alonso telah mencapai persetujuan untuk pengendali kelahiran Uruguay itu menjadi jurulatih baharu kelab ini sehingga akhir musim," kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Alonso yang berpengalaman menguruskan beberapa pasukan Amerika Latin termasuk Penarol, Olimpia dalam liga utama Uruguay serta Pachuca dan Monterrey dalam liga Mexico.
Tugas pertama Alonso adalah menyediakan skuad yang mantap apabila Sevilla menjadi tuan rumah kepada pendahulu La Liga, Real Madrid di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan pada 22 Oktober.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!