Pemilik boleh didakwa, abai tanah hingga jadi tapak sampah haram

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menafikan tuduhan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap isu pembuangan sampah haram di kawasan Taman Perindustrian Puchong Perdana.

MBSJ dalam satu kenyataan berkata, tanah milik pemaju itu dikesan menjalankan aktiviti pelupusan sampah tanpa kebenaran dan pihak pemaju telah mengambil tindakan mahkamah terhadap penceroboh.

Menurutnya, mahkamah memutuskan penceroboh diberi tempoh dua bulan bermula 11 Ogos lalu untuk keluar dari lot tapak tersebut.

"Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati aktiviti ini masih berulang. MBSJ turut mengambil tindakan perundangan dengan mengeluarkan Notis Tawaran Kompaun (NTK) bertarikh 19 September 2023 kepada pihak pemaju di bawah Seksyen 70A (9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM 25,000 atas kesalahan menjalankan atau membenarkan supaya dimulakan atau dijalankan sesuatu kerja tanah tanpa kelulusan pihak MBSJ.

"MBSJ turut mengambil tindakan proaktif dengan menutup kesemua laluan masuk ke tapak pembuangan sampah melalui kaedah blok-blok batu besar dan memasang tali kuning di kawasan tersebut bagi menghalang akses masuk lori dan kenderaan berat dalam usaha mengekang aktiviti ini," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Ujar kenyataan itu, MBSJ memandang serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap pihak melakukan kesalahan kacau ganggu khususnya aktiviti pembuangan sampah haram yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Pemilik tanah juga diingatkan agar bersama bertanggungjawab menjaga kawasan milik tanah masing-masing.

"Pemilik tanah tidak akan terlepas daripada tindakan mahkamah dan akan sama-sama bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti haram dan pembuangan sampah yang dilakukan di atas tanah mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!