Deschamps bidas FIFA

Deschamps menyifatkan perancangan Piala Dunia 2023 di enam negara tidak sesuai.
Deschamps menyifatkan perancangan Piala Dunia 2023 di enam negara tidak sesuai.
A
A
A

PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps membidas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana menganjurkan Piala Dunia 2030 di tiga benua dan membabitkan enam negara.

Menurutnya, negara-negara Amerika Selatan akan mempunyai kelebihan yang berbeza apabila perlawanan Piala Dunia diadakan di negara mereka.

“Di sebalik fakta bahawa ia adalah satu trend iaitu menganjurkannya di beberapa negara, terdapat juga aspek tersendiri perlawanan yang diadakan di benua Amerika Selatan.

"Saya tidak tahu negara mana yang akan terlibat, tetapi ini bermakna negara Amerika Selatan akan mendapat kelebihan dan kemudian negara lain perlu bergerak ke banyak destinasi untuk bermain," katanya.

Deschamps juga menggesa agar badan induk bola sepak dunia itu lebih selaras dalam proses membuat keputusan.

Minggu lalu, FIFA mengumumkan rancangannya untuk menganjurkan Piala Dunia 2030 di Maghribi, Portugal, Sepanyol, Argentina, Paraguay dan Uruguay dengan kesemua enam negara layak secara automatik ke kejohanan itu.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat maya majlis FIFA yang perlu disahkan oleh semua 211 ahli FIFA yang hadir pada acara yang mungkin akan berlangsung sebelum kongres FIFA.

“Pada 2030, Piala Dunia FIFA akan menyatukan tiga benua dan enam negara. Kami menjemput seluruh dunia untuk menyertai kejohanan sempena 100 tahun Piala Dunia FIFA," kata FIFA.

Artikel Berkaitan:

FIFA berkata perlawanan Piala Dunia diadakan di Amerika Selatan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun Piala Dunia pertama yang diadakan di Uruguay.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!