JPA lulus perjawatan penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual
KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan tribunal itu bertujuan untuk menyediakan satu platfrom alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.
“Pihak kementerian telah dimaklumkan secara rasmi tentang kelulusan itu pada Selasa. Tribunal ini menyediakan platform bagi suatu hak tebus rugi (right of redress) kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual.
“Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2023. Fasa pertama penguatkuasaan akta ini adalah melibatkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam manakala penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual pula adalah pada fasa yang kedua.
“Bagi melaksanakan keperluan fasa pertama, kementerian pada masa ini memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat umum mengenai Akta 840 serta mengetahui betapa seriusnya isu yang melibatkan gangguan seksual,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) tentang status terkini penubuhan tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Jelas Nancy, pihaknya juga telah merangka Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual untuk diadakan di setiap negeri.
Katanya, sejak pelancaran Program Jerayawara Advokasi AGS ini di Putrajaya pada 29 Mei yang lalu, KPWKM bersama agensi-agensi di bawah seliaannya, khususnya Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah menjelajah dan menganjurkan 11 siri jerayawara di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!