EPOKU ditamatkan selepas penerima tidak lagi bekerja - KPWKM

KPWKM
KPWKM
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menamatkan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) melibatkan seorang warga emas dalam satu video yang tular baru-baru ini kerana individu itu hilang kelayakan selepas didapati tidak lagi bekerja.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, insentif tersebut yang diberikan kepada OKU berpendapatan RM1,500 dan ke bawah akan terbatal apabila pendapatan meningkat atau sudah tidak bekerja.

Menurutnya, warga emas tersebut menerima EPOKU berjumlah RM450 bermula September 2020 hingga Ogos 2023, namun tidak lagi bekerja berdasarkan penelitian semula dibuat JKM pada September lalu.

“Sehubungan itu, EPOKU penama telah ditamatkan JKM, mengambil kira penama menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) tentera, bakul makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM950 selain isteri yang menerima pencen sebagai pesara kerajaan,” katanya pada Rabu.

Tambahnya, JKM menawarkan pelbagai jenis skim bantuan bergantung kepada kategori penerima dan EPOKU merupakan inisiatif untuk golongan tersebut selain Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja (BTB) serta Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT).

"Namun, syarat kelayakan perlu dipatuhi bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dan berhak menerima bantuan sahaja akan diberikan insentif ini," ujarnya.

Kementerian itu turut mengingatkan masyarakat untuk bertanggungjawab terhadap perkongsian di media sosial kerana kesan penularan berita palsu boleh mencetuskan keraguan dan kebimbangan tidak berasas kepada orang awam.

Jelasnya, kesalahan menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

“Seksyen 233 (3) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya dalam kenyataan sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!