Dana RM105 juta untuk bas henti-henti terus beroperasi

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM105 juta setahun di bawah program Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) sebagai bantuan kepada pengendali bas berhenti-henti di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia bagi memastikan syarikat pengendali yang menanggung kerugian operasi untuk terus menyediakan perkhidmatan merangkumi 265 laluan di Semenanjung Malaysia dan 88 laluan di Wilayah Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, ia penting memandangkan perkhidmatan pengangkutan awam darat di luar Lembah Klang tertumpu kepada perkhidmatan bas berhenti-henti yang menghubungkan pusat-pusat penempatan dengan bandar terdekat.

“Program ISBSF ini juga turut merangkumi daerah Pekan, di mana terdapat satu syarikat yang menyediakan dua buah bas di dua laluan untuk kemudahan penduduk setempat.

“Selain itu, melalui Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST/ MyBAS), kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM150 juta pada 2023 bagi membiayai perkhidmatan MyBAS sedia ada.

“Peluasan MyBAS juga sedang diusahakan untuk beberapa bandar lain yang bertujuan untuk menambah baik perkhidmatan dari aspek kemapanan (sustainability), kebolehharapan (reliability) dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Program ini juga dijangka akan dikembangkan ke bandar-bandar lain secara berfasa,” katanya sewaktu menjawab soalan Datuk Seri SH Mohmed Puzi SH Ali (BN-Pekan) yang bertanyakan rancangan kementerian itu dalam mengintegrasikan pengangkutan awam supaya lebih sistematik dan efisien termasuk di bandar-bandar kecil serta luar bandar di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Tambah Anthony, kerajaan juga sedang dalam kajian untuk memperkenalkan perkhidmatan bas berdasarkan permintaan atau ‘Demand Responsive Transit’ bagi tujuan meningkatkan kesalinghubungan perkhidmatan pengangkutan awam darat, terutama bagi perkhidmatan batuan terakhir yang menghubungkan stesen-stesen rel dengan kawasan penempatan dan lokasi pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi memastikan prestasi pengangkutan awam di negara ini mencapai tahap yang baik setanding negara-negara maju, kerajaan akan terus mengukuhkan tiga agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

“Selaku agensi yang bertanggungjawab mengawal selia dan memantau sistem pengangkutan awam negara, kita boleh lakukannya melalui pendigitalan perkhidmatan dan penambahbaikan struktur organisasi, sesuai dengan keperluan semasa serta peranan yang telah diberikan kepada mereka.

“Selain itu, agensi-agensi ini juga berperanan menyelaras peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk pengoperasian bas henti-henti intrabandar di bawah program MyBAS dan juga program bantuan subsidi dana Interim Stage Bus Servis Fund (ISBSF) di seluruh negara,” ujar beliau.

Tambahnya, bagi Lembah Klang, rangkaian pengangkutan awam darat merangkumi lapan perkhidmatan rel yang dikendalikan oleh Rapid KL, Keretapi Tanah Melayu dan Express Rail Link.

Selain itu, perkhidmatan bas henti-henti yang disediakan oleh Rapid KL serta pengendali-pengendali lain, sebanyak 298 laluan yang menghubungkan hub-hub utama pengangkutan awam darat di sekitar Lembah Klang.

“Bagi mengurangkan kos pengguna, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan telah memperuntukkan dana sebanyak RM115 juta setahun untuk inisiatif my50 iaitu pas perjalanan tanpa had untuk 30 hari bagi perkhidmatan rel dan bas yang disediakan oleh Rapid KL,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!