Belanjawan 2024: Pertimbang pengecualian cukai yuran latihan sukan
PUTRAJAYA - Pelaksanaan pengecualian cukai terhadap kos atau yuran latihan sukan antara perkara diutamakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkara berkenaan telah dibincang bersama Kementerian Kewangan untuk dipertimbang supaya pihak yang mengeluarkan kos atau yuran latihan sukan dapat menikmati pelepasan cukai.
"Sebelum ini pengecualian cukai diberikan kepada individu yang membuat pembelian alatan sukan, tetapi kita harap ia turut diberi kepada ibu bapa yang mengeluarkan belanja bagi tujuan latihan sukan anak-anak mereka.
"Dengan adanya insentif ini, ia akan menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka menjalani latihan sukan dan dari situ lebih banyak duit dapat disalurkan seperti memberikan peluang pekerjaan buat jurulatih serta pada masa sama melahirkan bakat besar dalam sukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kejohanan U.S Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 di Menara KBS di sini pada Rabu.
Hannah turut berharap peruntukan mencukupi dapat disalurkan kepada KBS menerusi belanjawan kali ini.
"Kalau kita nak kecemerlangan dalam sukan, kita perlu melabur dan Sukan Asia sudah membuktikan semua perlukan duit kalau kita nak cemerlang, jadi saya harap peruntukan mencukupi untuk belia dan sukan," katanya.
Pada Belanjawan 2023 yang dibentangkan Februari lepas, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM324 juta kepada KBS untuk program latihan dan kemudahan sukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!