Penganggur bakar al-Quran, sejadah dipenjara enam bulan
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhi hukuman penjara selama enam bulan ke atas seorang penganggur setelah mengaku salah membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid di daerah Kuala Nerus.
Tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Kamal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Hakim Nooriah Osman.
Mahkamah memutuskan tertuduh dipenjara selama tempoh enam bulan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Jun lalu.
Pendakwaan ke atas tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membakar empat naskhah al-Quran dan tiga helai sejadah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi sebuah pusat hemodialisis di lokasi sama kira-kira jam 10.50 pagi pada 12 Jun lalu.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najmi Adila.
Mahkamah pada 19 Jun lalu mengarahkan tertuduh menjalani rawatan mental di Hospital Permai, Tampoi di Johor Bahru.
Perkara itu diputuskan selepas mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya agar tertuduh menjalani pemeriksan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!