'Naira rindu nak ke sekolah, jumpa kawan-kawan'
ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menanggung derita selepas disahkan menghidap penyakit Malformasi Arterio Vena (AVM) sejak Ogos lalu, sehingga terpaksa membuang tempurung kepala.
Disebabkan itu, Naira Mahdeeya Nor Afratsim, 10, tidak lagi mampu bersekolah seperti murid lain lebih-lebih lagi mengalami strok pada bahagian kaki kiri.
Ibunya, Mastura Dahan, 45, berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai tukang bersih masjid dengan gaji harian, namun setelah anak keempat daripada lima beradik itu ditimpa sakit dia tidak dapat lagi bekerja.
Menurutnya, dengan pendapatan suaminya, Nor Afratsim Hashim, 46, sebagai juruteknik kilang sekitar RM2,000 sukar untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan anaknya yang mesra dipanggil kakak selain anaknya berusia 16 hingga lapan tahun masih bersekolah.
Katanya, Naira Mahdeeya yang sebelum ini belajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar, perlu menjalani satu lagi pembedahan pada November depan dan kos perubatan menelan belanja RM35,000.
"Saya buntu mana nak cari wang dan tarikh bagi pembedahan di Hospital Sungai Buluh untuk menutup tiga saluran di otak semakin hampir.
"Harap ada dermawan dan orang ramai yang akan membantu, semoga ada sinar untuk anak saya pulih kembali," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini pada Rabu.
Tambahnya, setakat ini dia hanya dapat mengumpul kira-kira RM7,000 hasil sumbangan orang ramai namun belum mencukupi untuk kos perubatan akan datang.
"Saya juga berharap proses permohonan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dimohon pada Ogos lalu dipercepatkan kelulusannya bagi meringankan beban kami sekeluarga.
"Saya nak lihat dia pulih, sekurang-kurangnya mampu bergerak sendiri dan tidak lagi memakai lampin pakai buang dan minum susu khas," katanya lagi.
Sementara itu, Naira Mahdeeya turut berharap dia dapat kembali ke sekolah dan berjumpa dengan rakan-rakan sekelasnya.
"Rindu nak jumpa rakan di sekolah, saya nak sihat supaya dapat pergi berjalan-jalan ke tempat menarik," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Maybank 162143031269 atas nama Nor Afratsim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!