Sidang Kemuncak KL lengkapi usaha gabungan negara Islam lain

Dr Mahathir bercakap pada sidang media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir bercakap pada sidang media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) bertindak sebagai kerjasama strategik untuk melengkapkan usaha dilakukan oleh gabungan negara Islam sedia ada seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8).

Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, semua negara Islam dipelawa menyertai usaha ini dalam perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada masa akan datang yang akan dijenamakan semula sebagai Dialog Perdana bermula 2020.

Dr Mahathir, sebagai pengerusi Sidang Kemuncak KL berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada akhir persidangan edisi 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak KL 2019 yang mengandungi antara lain, komitmen dan ikrar dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan umat Islam dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Sidang Kemuncak, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pada majlis penutup persidangan itu.

"Kami komited untuk melaksanakan penyelesaian pragmatik yang disokong oleh sidang kemuncak ini dengan tujuan untuk memulihkan ketamadunan Islam yang sangat dihormati, memperbaiki keadaan semasa ummah dan memperluas jangkauan pembangunan ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi untuk manfaat generasi akan datang, " kata Dr Mahathir dalam dokumen itu.

“Kami mengiktiraf peranan setiap ummah dalam semua kepelbagaiannya untuk mencapai matlamat memulihkan peradaban Islam untuk kebaikan ummah,” katanya dalam kenyataan pada Sidang Kemuncak KL bertemakan ‘Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara’.

Dr Mahathir berkata, sidang kemuncak itu memutuskan untuk memanfaatkan solidariti, kekuatan dan sumber untuk memangkinkan amanat yang diperbaharui dan kesungguhan ummah untuk meningkatkan kehidupan, memodenkan dan mencipta pendekatan baharu untuk menangani masalah dihadapi umat Islam.

Perdana menteri berkata, sidang kemuncak itu menekankan pentingnya mengenal pasti pembangunan diperlukan negara-negara Islam, mewujudkan peluang dalam pelbagai bidang, memerangi rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang baik serta menangani krisis identiti dan ancaman Islamofobia.

Artikel Berkaitan:

Peluang yang akan diwujudkan seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, perindustrian, penyelidikan dan pembangunan, produk kewangan Islam dan kemajuan teknologi bersama dalam bidang-bidang yang penting.

“Kami mengulangi komitmen kami untuk bekerjasama ke arah membangunkan ummah yang menjalani kehidupan penuh kebebasan, dengan kemuliaan dan kemakmuran, dilengkapi dengan tahap pendidikan dan kemahiran tertinggi untuk peluang sosioekonomi yang lebih baik,” katanya.

Usaha ini juga perlu memberi kesan kepada ummah yang menyokong keamanan dan keadilan serta mereka boleh menyumbang kepada masyarakat antarabangsa.

Di samping itu, Sidang Kemuncak KL berikrar untuk mengekalkan pendekatan inklusif, pelbagai sektor yang menggalakkan pertukaran idea, wacana, pembuatan dasar dan cadangan berasaskan tindakan.

Dalam hal ini, ia menyeru semua pelaksana di dunia Islam seperti cendekiawan, pertubuhan bukan kerajaan dan antarabangsa, entiti perniagaan, agensi pembangunan, badan pemikir, universiti dan masyarakat umum secara keseluruhannya menyertai dan menyumbang idea dalam perbincangan pada masa hadapan.

“Kami berikrar untuk mencapai matlamat dan sasaran Sidang Kemuncak KL, bersatu dengan keazaman yang sama bagi memulihkan tamadun Islam untuk generasi ummah masa kini dan masa hadapan,” kata Dr Mahathir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!