Terlalu awal untuk spekulasi nasib Kelantan FC di Liga Super

Stuart Ramalingam - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Stuart Ramalingam - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MASIH terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai nasib Kelantan FC dalam kancah Liga Super musim depan selepas kelab itu dilaporkan lambat menghantar dokumen untuk mendapatkan lesen Liga Super selepas tarikh tutup pada hujung September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihak First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyemak dokumen yang telah dihantar oleh setiap pasukan sebelum memberi kelulusan.

Menurutnya, nasib Kelantan serta semua pasukan akan diketahui melalui satu pengemuman rasmi pada 19 Oktober ini yang akan dibuat oleh FIB.

"Kelantan ada juga beberapa dokumen yang mungkin dihantar lewat selepas tarikh tutup tamat, tapi saya biarkan dalam jawatankuasa pada masa ini apabila bersidang nanti kita akan membuat keputusan.

"Mungkin terlalu awal untuk berspekulasi dan kami harap semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia tahun ini faham produser pelesenan kerana ia bukan perkara baharu.

"Tahun lepas kita dah ambil beberapa keputusan yang agak tegas mengenai lesen, dan kami rasa perkara itu akan disambung ke tahun ini untuk memastikan liga kita tidak mengalami isu-isu gaji," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem 'Harimau Malaya: The Untold Journey' arahan Datuk Afdlin Shauki, pada Selasa.

Sebelum ini, Kelantan FC dilaporkan berdepan tunggakan gaji yang menyaksikan ramai pemain terpaksa angkat kaki.

Untuk rekod, FIB telah bertindak tegas apabila tidak memberikan lesen kepada Melaka United dan Sarawak United sekali gus mereka tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara penting yang akan dinilai adalah berkenaan pembayaran gaji sepanjang musim ini kerana MFL amat komited untuk mengelakkan isu tunggakan gaji berulang.

"Sudah tentu ketegasan seperti yang dilakukan musim lalu akan diteruskan.

"Ia untuk memastikan kedudukan kewangan pasukan, pembayaran kepada agensi ataupun gaji, struktur pasukan, 'legal' entiti pasukan untuk memastikan apa-apa yang perlu diserahkan diserahkan dengan betul," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!