Usaha reformasi pengasingan peguam negara, pendakwa raya bermula

Azalina mempengerusikan libat urus fasa pertama di Parlimen pada Rabu.
Azalina mempengerusikan libat urus fasa pertama di Parlimen pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Fasa pertama ke arah usaha reformasi pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya telah bermula dengan sesi libat urus diadakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbincangan antara lain memberi fokus kepada pembentangan kajian literatur yang terperinci bagi amalan terbaik meliputi sembilan negara.

Menurut beliau, negara berkenaan adalah England dan Wales, India, New Zealand, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Ireland, Kenya dan Amerika Syarikat.

"Saya menyeru semua pihak terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan usaha pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya ini dapat dilaksanakan dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sesi libat urus ini dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Karpal Singh; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi William Leong Jee Keen; Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang; Kementerian Kewangan Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Isnin lalu, Azalina di Dewan Rakyat memaklumkan kajian bagi melaksanakan perkara itu akan melalui tiga fasa, mengambil kira kompleksiti dan cabaran dihadapi serta memastikan ia dibuat secara terperinci dan holistik.

Selain itu, kajian yang dilaksanakan dua pasukan yang ditubuhkan iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal akan memastikan pengasingan itu dapat dilaksanakan tanpa sebarang pengaruh politik dan urusan undang-undang di bawah peguam negara dan pendakwa raya dilaksanakan secara telus.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!