Tindakan 'bermusim' tidak bantu selesaikan konflik Palestin - Raja Bahrin

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan 'bermusim' bersifat reaktif yang hanya diambil ketika saudara Islam Palestin berdepan serangan dahsyat ketika ini tidak membantu sepenuhnya dalam menyelesaikan konflik berpanjangan yang berlaku di negara itu.

Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, umat Islam di Palestin telah 'digadai' oleh dunia dan saudara Muslim mereka atas faktor kepentingan ekonomi dan politik yang dipengaruhi oleh Israel dan 'abang besar' mereka iaitu Amerika Syarikat.

Ujar beliau, Perjanjian Oslo dan penyelesaian dua negara hanya kekal di atas kertas tanpa percubaan serius untuk melaksanakannya sementara Israel terus mengusir penduduk Palestin dari tanah air mereka, membunuh penduduk asal, dan membina perkampungan haram baharu.

"Kita tidak akan menyelesaikan isu Palestin dengan tindakan bermusim yang bersifat reaktif, tetapi kita seharusnya sentiasa menangani penderitaan panjang mereka yang hidup dalam penjara terbuka terbesar dunia yang dipanggil Gaza dan Tebing Barat.

"Kerajaan Israel telah memutuskan semua bekalan air, elektrik, dan bekalan penting lain kepada Gaza. Sebagai langkah tambahan, Eropah juga memutuskan untuk menambahkan penderitaan mereka dengan menahan semua bantuan keperluan kemanusiaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurut Raja Bahrin, masyarakat dunia menyelar kezaliman yang dilakukan bahkan kematian dan keganasan yang berlaku di negara itu ketika ini disifatkan sebagai tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Penderitaan 2.4 juta rakyat Palestin yang hidup dalam kemiskinan di Gaza kini semakin tertekan setelah negara-negara Eropah mahu menarik semua bantuan kemanusiaan selepas mereka berdepan penindasan sekatan embargo oleh Israel dan Amerika Syarikat sejak sekian lama.

"Kematian dan cara penderitaan dan penderaan berpanjangan sebelum menemui maut adalah bentuk kezaliman kolektif paling kejam dilakukan oleh kerajaan demokratik dan beradab dari Barat, Amerika, dan Israel terhadap Palestin," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, penderitaan dialami rakyat Palestin tidak sepatutnya dianggap sebagai tragedi yang membosankan oleh dunia, sebaliknya ia seharusnya menggugah hati nurani dunia untuk mencipta dunia yang lebih adil dan damai untuk semua.

"Isu Palestin tidak seharusnya dibicarakan secara bermusim, ia perlu diberi perhatian berterusan kerana pengabaian kita terhadap penderitaan mereka akan memanjangkan lagi kesengsaraan mereka.

"Sungguh menyedihkan apabila hanya apabila insiden dahsyat besar berlaku, barulah dunia 'celik' dan mengambil perhatian terhadap tragedi Palestin, itu pun hanya melalui tindakan simbolik tanpa pendekatan baru untuk menyelesaikan isu-isu lama yang lebih besar.

"Sehingga dunia mempunyai kehendak azam politik yang berterusan melalui usaha kolektif untuk mencari penyelesaian konflik ini agar peristiwa serupa tidak akan berulang dengan kehilangan sejumlah besar nyawa mereka yang tidak berdosa," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Arab Saudi mengumumkan untuk menghentikan semua rundingan menormalisasi hubungan dengan Israel.

Keputusan itu dimaklumkan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken yang menjadi pengantara rundingan damai dan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Memetik laporan SAMAA TV, keputusan Arab Saudi untuk menghentikan rundingan telah menimbulkan persoalan mengenai masa depan diplomasi serantau dan keamanan Timur Tengah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!