Pelajar politeknik maut, empat rakan cedera nahas balik rumah sewa
PORT DICKSON - Seorang pelajar Politeknik Port Dickson maut manakala empat cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 28 Tol Mambau menghala ke gerbang Port Dickson di sini, pada Rabu.
Nahas kira-kira jam 6.20 pagi itu berlaku membabitkan kereta Perodua Kancil dinaiki lima pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik Komunikasi yang kesemuanya berusia 20 tahun dengan sebuah motosikal.
Mangsa yang maut iaitu Syed Ahmad Hafiy Syed Hassan manakala yang cedera iaitu Muhammad Firdaus Mohamad Faizal, Muhamad Akmal Mohd Asri, Muhammad Hazim Hashim dan Wan Muhammad Haziq Aiman Wan Jaafar.
Menurut rakan serumah mangsa, Muhammad Adib Danial Mohd Zamrin, 20, kesemua rakan-rakannya itu dalam perjalanan dari Seremban untuk pulang ke rumah sewa di Taman Marlin di sini.
"Kami tinggal serumah seramai sembilan orang dan saya tahu mereka ke Seremban untuk siapkan kertas projek yang perlu dihantar untuk disemak hari ini (Rabu).
"Tapi kira-kira jam 7 pagi, saya dikejutkan oleh rakan beritahu yang mereka semua ini kemalangan," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Port Dickson di sini, pada Rabu.
Menurutnya, dia pada awalnya hanya menyangka kemalangan biasa dan bergegas ke hospital, namun sebaik sampai di wad kecemasan hanya mendapati empat teman serumahnya saja sedang dirawat.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila diberitahu yang Syed Ahmad Hafiy telah pun meninggal dunia.
"Bila dah jadi macam ini, barulah saya terlintas perubahan sikap yang ditunjukkan arwah. Daripada seorang agak pendiam tetapi berubah ceria sehari sebelum kejadian.
"Kami kawan-kawan tengok yang dia banyak ketawa dan rupa-rupanya itu mungkin petanda dia akan tinggalkan kami," katanya.
Menurut makluman Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, insiden dipercayai berlaku apabila Perodua Kancil berkenaan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pembahagi jalan.
"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat dan telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!