Isu hak milik tanah Felcra Kuala Medang akan diselesaikan
KUALA LIPIS - Kerajaan Pahang akan segera menyelesaikan isu membabitkan hak milik tanah peserta Felcra Kuala Medang dalam masa terdekat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak pengurusan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis sedang berusaha menyelesaikan masalah pemilikan di tanah rancangan terbabit.
"Peserta yang tidak terlibat dengan masalah hakmilik tanah tidak perlu bimbang kerana hak pemilikan akan diserahkan secepat mungkin kepada mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) Yayasan Pahang 2020 Kawasan Jelai di Dewan UMNO Cameron Highland, Sungai Koyan semalam.
Hadir sama Exco Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Abd Aziz Mat Kiram; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; ADUN Cameron Highlands, Ramli Datuk Mohd Nor; Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim; dan Yang Dipertua Pas Cameron Highland, Abdul Karim Noor.
Beliau berkata, apabila segala proses dan urusan selesai satu majlis khusus akan dianjurkan bagi tujuan penagihan geran pemilikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!