Kembar maut Kancil bertembung SUV
PASIR SALAK - Dua beradik kembar maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Jalan Kampung Gajah - Tanjung Tualang berhampiran Kampung Changkat Rambai, di sini pada Rabu.
Mangsa dikenali sebagai Nur Shahidah Abdull Karim dan Nur Zuhaida Abdull Karim masing-masing berusia 33 tahun yang beralamat di Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah digerakkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan pada jam 11.17 pagi.
"Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan yang mana dua wanita tersepit dalam kereta Perodua Kancil.
"Ketua Operasi, Abdul Hadi Abdullah melakukan penilaian risiko dan mengarahkan pasukan menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa," katanya di sini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Pemandu SUV berusia 37 tahun dan penumpang berusia 22 tahun mengalami luka-luka di bahagian badan.
"Operasi tamat pada jam 1.10 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!