Cadang jawatan Timbalan Speaker diberi kepada BN

Zaifulbahri semasa sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Kedua Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-15 pada Rabu. - Foto Bernama
Zaifulbahri semasa sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Kedua Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-15 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri dicadangkan melantik Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN).

Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) berkata, ia bagi menunjukkan kesepaduan dan keserasian Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Ini kerana katanya, Menteri Besar dilantik daripada Pakatan Harapan (PH), Exco kanan pula daripada BN dan Speaker daripada PH.

"Kalau dulu ketika era BN, kerajaan negeri hebat dan ketika di bawah PH pun baik. Rakyat mendambakan kerajaan BN yang hebat dahulunya dicampur dengan PH yang baik ini, seharusnya jauh lebih hebat.

"Rakyat juga memerhatikan kesepaduan dan keserasian Kerajaan Perpaduan ini, dan Speaker juga telah lalui satu proses demokrasi yang sangat baik pada bulan Ogos lalu," katanya

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 pada Rabu.

Menurutnya, jawatan itu penting demi kesejahteraan perjalanan Dewan sekali gus memastikan ia dapat berjalan dengan baik.

"Peranan Speaker ini amat penting. Jadi keberadaan dalam dewan ini amat penting dan kita tidak mahu jika ada berlaku apa-apa masalah kepada Speaker, Dewan terpaksa ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon maaf kerana ada ketikanya saya boleh keluar untuk ke tandas atau minum, tapi Speaker tak boleh. Jadi saya cadangkan Timbalan Speaker dilantik secepat mungkin," katanya.

Sebelum ini media melaporkan UMNO Negeri Sembilan meminta agar diadakan rundingan di antara BN dan PH bagi pelantikan jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan.

Setiausaha DUN Negeri Sembilan, Mohd Amin Ludin pula memaklumkan pelantikan Timbalan Speaker DUN ditangguhkan kerana kerajaan negeri belum memutuskan nama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!