Contohi Sarawak tubuh agensi pembangunan ikut kawasan - Ahmad Zahid
KUCHING - [DIKEMAS KINI] Penubuhan agensi-agensi pembangunan mengikut kawasan tertentu seperti yang ada di Sarawak boleh dicontohi negeri lain, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, penubuhan agensi pembangunan mengikut kawasan akan menjadikan usaha lebih fokus dengan penglibatan pemimpin tempatan yang lebih memahami keperluan kawasan mereka.
"Pada pandangan saya, ini adalah satu game changer yang harus dipelajari juga oleh negeri-negeri lain supaya ada keseimbangan pembangunan antara penduduk di kawasan luar serta dalam bandar,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan KKDW dan exco-exco luar bandar negeri di sini pada Rabu.
Sebelum ini, kerajaan negeri Sarawak telah menubuhkan beberapa agensi pembangunan antaranya Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bagi memacu serta merancakkan pembangunan ekonomi kawasan tersebut.
Sementara itu, ditanya mengenai Belanjawan 2024, Ahmad Zahid berkata, KKDW telah mengemukakan beberapa cadangan serta permintaan mereka kepada Kementerian Ekonomi terutamanya bagi pembangunan kawasan luar bandar.
Belanjawan 2024 dijangka akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 13 Oktober ini.
BEFR jadi contoh bangunkan agro, ekopelancongan luar bandar
Projek akuakultur ikan empurau yang mengadaptasikan konsep agro dan ekopelancongan di Borneo Empurau Farm and Resort (BEFR) di sini mampu menjadi antara inisiatif pembangunan ekonomi yang boleh dipelajari oleh negeri lain.
Ahmad Zahid berkata, kawasan desa turut berpotensi diteroka sebagai projek penternakan atau pertanian dengan menggabungkan konsep pelancongan.
"Ini merupakan beberapa contoh baik yang boleh dibawa pulang (oleh menteri atau exco) ke negeri masing-masing untuk dilaksanakan," katanya.
Lawatan itu, yang dihadiri 110 Ahli Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) bagi melihat sendiri usaha projek pembangunan ekonomi sedemikian di Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Berkeluasan 26 hektar dan terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuching, BEFR yang merupakan pusat akuakultur ikan empurau serta pusat peranginan turut mengadaptasi konsep agropelancongan.
Mula dibangunkan pada 7 Mei 2015, pusat akuakultur itu bertujuan menambah bekalan empurau liar yang semakin berkurangan di Sarawak sekali gus meningkatkan pendapatan negeri dengan mengeksportnya ke pasaran luar seperti China, Taiwan, Jepun dan Eropah.
Sehingga kini, pusat itu telah membangunkan tempat persenyawaan yang mampu menghasilkan kira-kira 5,000 telur empurau setahun selain menyediakan akuarium pembiakan untuk empurau dewasa, makmal penyelidikan dan pembangunan serta kemudahan latihan kepada bakal petani.
Resort agropelancongan di kawasan itu boleh menampung kira-kira 2,000 pengunjung pada satu-satu masa dengan 26 chalet dan rumah panjang 18 pintu. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!