Remaja didakwa diculik rupanya ditipu scammer hingga rugi RM283,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan kes culik tetapi sebenarnya diugut pihak scammer menyebabkan seorang remaja berusia 18 tahun menyembunyikan diri dan terpaksa membuat pembayaran sebanyak RM283,000 kepada sindiket penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian penuh misteri itu bermula apabila mangsa dihubungi pihak scammer yang menyamar sebagai pegawai polis.

Beliau berkata, pihak scammer menyatakan mangsa mempunyai kiriman bungkusan yang mengandungi dadah dan diminta membuat beberapa transaksi pembayaran.

"Sebanyak empat transaksi pembayaran dibuat sendiri oleh mangsa bermula 30 September dengan pemindahan sebanyak RM80,000 dan diikuti RM80,000 lagi pada 1 Oktober.

"Seterusnya membuat pemindahan sebanyak RM80,000 pada 2 Oktober dan RM43,000 pada 3 Oktober tanpa pengetahuan ibu bapanya," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, setelah tidak lagi mempunyai wang simpanan, pihak scammer mengarahkan mangsa melarikan diri dari rumahnya dan bersembunyi di sebuah rumah inap di Shah Alam, Selangor.

Selepas melarikan diri, kata beliau, pihak scammer menghubungi ibu bapa mangsa dan meminta tebusan sebanyak RM300,000.

Ekoran ugutan itu katanya, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, polis berjaya mengesan mangsa pada 5 Oktober dan siasatan awal mendapati tidak terdapat elemen culik dalam kes tersebut.

"Cuma mangsa berada dalam keadaan yang teramat takut.

"Siasatan juga mendapati mangsa seorang budak yang baik dan tidak mempunyai banyak kenalan," ujarnya.

Menurut beliau, selepas dua hari mangsa diselamatkan, polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 24 dan 32 di Pulau Pinang.

Jelasnya, seorang suspek yang dipercayai keldai akaun telah ditahan semasa mengeluarkan duit transaksi daripada mangsa, manakala seorang lagi suspek bertindak sebagai operator atau orang perantara.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, modus operandi sama juga telah digunakan pihak scammer dalam menipu seorang gadis berusia 18 tahun pada Julai lalu.

Menurutnya, wanita tersebut telah membuat transaksi sebanyak RM98,000 apabila diugut dengan menyatakan dia giat diburu oleh pihak polis.

Katanya, ekoran berasa takut, mangsa telah melarikan diri sehingga ke Hatyai, Thailand bagi mengelak daripada ditangkap pihak polis.

Sehubungan itu, tegas beliau, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan sebarang panggilan mencurigakan atau menyatakan ia daripada pihak polis.

Jelasnya, pihak polis sama sekali tidak pernah menyiasat atau menyelesaikan kes menerusi panggilan telefon.

"Ia satu taktik atau modus operandi baharu yang cuba digunakan oleh pihak scammer dalam menipu orang ramai.

"Tindakan lebih berhati-hati perlu dilakukan oleh orang ramai supaya mereka tidak terjebak dan termakan dengan penipuan dilakukan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!