PDRM buka pengisian jawatan sensitif di JSJ
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pengisian jawatan-jawatan sensitif di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) secara terbuka kepada pegawai berminat.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, meskipun tawaran tersebut dibuat secara terbuka, namun satu tapisan kemasukan akan dilakukan dan perlu mengisytiharkan harta sepencarian termasuk isteri.
Beliau berkata, antara jawatan sensitif yang boleh diisi secara terbuka itu adalah pegawai risikan dan operasi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan pegawai di Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).
"Pegawai dan anggota berminat mengisi perjawatan sensitif tersebut boleh mengemukakan surat permohonan.
"Selain itu, audit berterusan akan dilakukan kepada mereka yang berada dalam unit sensitif ini iaitu sebanyak sekali setahun," katanya dalam sidang media pada Rabu.
Sementara itu mengulas mengenai video ucapannya yang tular baru-baru ini, Mohd Shuhaily berkata, ia adalah satu kenyataan umum serta kesinambungan daripada saranan yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara sebelum ini.
Tegasnya, apa yang diucapkan dan didedahkan pada majlis bersama pegawai JSJ di Pulau Pinang itu merupakan satu rahsia yang bukan lagi rahsia, malah ia usaha dan inisiatif berterusan PDRM membersihkan pasukan secara berkesan.
"Niat saya memuat naik di TikTok jabatan kerana saya hanya dapat berjumpa dengan 130 pegawai, sedangkan saya ada 10,000 anggota dan pegawai lain dalam jabatan ini.
"Apabila ucapan itu dimuat naik, masyarakat umum memberikan maklum balas yang memberangsangkan," ujarnya.
Jelasnya, maklum balas yang diterima menunjukkan berapa ramai yang tahu apa yang berlaku di dalam PDRM.
Namun begitu katanya, sekiranya ada pegawai memiliki aset atau harta secara sah, pastinya perkara seumpama itu tidak dibangkitkan.
"Sekiranya mereka memiliki harta atau kereta mewah, maka berikan sebab mengapa mereka mampu.
"Saya tidak melarang kalau beli kereta dengan sumber kewangan yang sah kerana siapa saya untuk melarang menggunakan kereta berkenaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!