'Saya bukan celupar, hanya bercakap benar' - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan gabungan itu tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai disebabkan atas keceluparan beliau dalam siri kempen ceramah.

Beliau sebaliknya menyifatkan kekalahan PN di kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebagai perkara biasa, namun prestasi dilihat semakin baik apabila berjaya menawan beberapa kawasan Felda di DUN terbabit.

Menurutnya, BN berjaya mengekalkan kekuasaan di DUN Pelangai, namun ia bukanlah sesuatu yang ‘hebat’ kerana ia sememangnya kerusi tradisi parti itu.

“Saya celupar ka? Saya hanya cakap betul dengan nada suara lebih kuat dan jelas. Yang celupar ni cakap tak betul, suara laju daripada otak, itu celupar.

“Kalau ada asas, bukti, analisa tepat serta justifikasi yang betul, itu bukan celupar. Ditohmah saya celupar padahal saya ada bukti, tak kan cakap benda betul dilabel celupar. Dunia telah diterbalikkan, yang cakap betul dilabel celupar, yang cakap tipu tak celupar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin yang mendakwa keceluparan Sanusi antara punca penolakan pengundi DUN Pelangai terhadap PN.

Beliau dilaporkan berkata, sejak awal kempen, maklum balas pengundi DUN Pelangai dilihat kurang senang terhadap kenyataan angkuh dan biadab Sanusi selain mendakwa PN akan terus bermasalah jika terus menggunakan ADUN Jeneri itu sebagai ikon.

Artikel Berkaitan:

Sanusi berkata, PN hanya belum mencukupi sokongan untuk menang di DUN berkenaan dan ia bukan suatu kelemahan.

“Sebenarnya antara sebab kekalahan PN, kita berlawan di kawasan BN, dikenali kubu kuat BN. Itu bukan kekalahan PN cuma kembali kepada keputusan sebelumnya.

“Kalau PN berlawan di kubu PN dan BN menang, bolehlah kata BN hebat rampas kawasan kita. Sudah kubu dia kita pi lawan dan kalah, itu normal. Kalau kita berjaya rampas boleh jadi berita hebat,” ujarnya.

Beliau turut menangkis dakwaan kononnya gelombang PN yang melanda negara ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu semakin pudar menyebabkan pengundi menolak gabungan itu.

“Itu sekadar ucapan untuk menyedapkan hati mereka sahaja,” jelasnya.

Mengulas sama ada PN memerlukan ‘panglima perang’ baharu ekoran pengaruh pemimpin utama parti itu dilihat merosot hingga gabungan itu mengalami kekalahan di Pelangai, kemungkinan dipengaruhi integriti Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikaitkan kes mahkamah, Sanusi menolak persepsi tersebut.

“Isu itu tidak berbangkit. Muhyiddin bukan didapati bersalah, jika hukuman mahkamah mendapati beliau bersalah dan dipenjarakan kemudian buat pengampunan barulah integriti terjejas.

“Kalau tidak pernah dipenjarakan, tak terjejas apa pun. Berbeza dengan kes yang sedang berjalan dengan 47 pertuduhan tiba-tiba digugurkan diberikan bebas tanpa melepaskan, itu memang integriti terjejas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi menyifatkan Felda bukan lagi deposit tetap BN kerana undi PN di kawasan terbabit meningkat.

“Kebanyakan kawasan Felda sekarang diduduki generasi kedua dan ketiga, mereka lebih terbuka. Ancaman ugutan dah tak laku, mereka bebas membuat pendirian politik masing-masing berdasarkan kefahaman, ilmu, perkembangan semasa.

“Semua akan lari daripada BN. Mereka boleh buat keputusan atas kefahaman sendiri. Maka Felda bukan lagi deposit tetap untuk kerusi BN,” jelasnya.

Menurutnya lagi, disebabkan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah menyaksikan semua kawasan Felda dimenangi PN.

“Gelombang ini akan pergi ke Pahang, Perak dan Johor. Kesemua peneroka Felda kebanyakannya orang Melayu dan mereka sedar kepentingan politik Melayu dan mahu Melayu terpelihara, teguh untuk menjadi teras politik negara,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!