Belanjawan 2024: Pena gesa kerajaan terus martabat bahasa Melayu

Mohamad Saleeh
Mohamad Saleeh
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) meminta kerajaan meningkatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat ini.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, permintaan itu selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, peneguhan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan merupakan tuntutan wajib atau hak, bukannya suatu keistimewaan.

“Antara usaha yang perlu diberi perhatian ialah dana penyelidikan untuk meneliti tahap penggunaan dan kefahaman generasi muda tentang kedudukan bahasa Melayu memandangkan generasi muda kini sudah terlambung oleh gelombang bahasa Inggeris, terutama yang tinggal di bandar-bandar utama.

“Lanjutan daripada itu, usaha memberikan penghormatan dan penghargaan kepada pengguna bahasa Melayu yang baik, sama ada dalam media massa, penerbitan, rancangan televisyen, persuratan, seni dan pendidikan di institusi pengajian tinggi hendaklah diperluas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, langkah memberikan pengiktirafan rasmi oleh agensi kerajaan kepada pihak atau orang perseorangan yang berusaha mengembangkan, mempertingkatkan imej bahasa Melayu juga wajar dilaksanakan.

“Misalnya, berikan penghargaan kepada beberapa pihak atau entiti seperti penulis karya berbahasa Melayu terbaik, penyampai bahasa Melayu terbaik dalam media penyiaran, aktivis bahasa Melayu yang tegar, penulis buku ilmiah berbahasa Melayu, serta pelajar bukan Melayu mahupun Melayu yang menonjol dalam penguasaan bahasa Melayu,” katanya

Mohamad Saleeh turut mencadangkan agar dana munasabah wajar diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak bergiat menjalankan aktiviti berkaitan dengan kesusasteraan, kebahasaan dan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah persatuan penulis mahupun persatuan lain yang berkenaan dengan dana diberikan kepada aktivis tersebut tanpa diikat oleh prosedur terlalu ketat kerana mereka tidak memiliki kakitangan bergaji.

“Pengorbanan mereka mesti dilihat daripada kaca mata manusiawi, bukannya kaca mata birokrasi,” tegasnya.

Ujarnya, memperkembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa hendaklah diperluas, bukan sahaja oleh kedutaan di luar negara, malah oleh agensi dan kementerian berkaitan dengan melibatkan aktivis bahasa dan sastera yang sedia ada.

“Penulis muda mahupun penulis mapan wajar diperkenalkan kepada masyarakat di peringkat antarabangsa, atau sekurang-kurangnya wilayah serantau.

“Ini dapat dilakukan dengan penyediaan dana untuk membawa mereka menyertai pesta buku mahupun acara yang berkaitan di luar negara.

Tambahnya, terdapat puluhan persatuan penulis di negara ini yang bergerak menghidupkan bahasa Melayu melalui pelbagai program dengan mengorbankan tenaga, masa dan kewangan sendiri.

“Mereka melakukan tugas tersebut dengan kecintaan dan ketulusan walaupun terpaksa melakukannya dengan penuh kesukaran. Usaha mereka ini perlu dibantu melalui peruntukan yang disalurkan kepada agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, dan Perbadanan Kota Buku.

“Seterusnya, dana penerbitan buku berbahasa Melayu, dana pembelian buku untuk sekolah dan agensi kerajaan yang berkenaan, dan dana pengembangan bakat penulisan dan orator dalam kalangan pelajar sekolah mahupun universiti hendaklah disediakan melalui saluran yang tertentu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!