Arab Saudi dapat sokongan padu jadi tuan rumah Piala Dunia 2034

Yasser Hasan Al Misehal
Yasser Hasan Al Misehal
A
A
A

PENGUMUMAN Arab Saudi membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 mendapat sokongan padu apabila lebih daripada 90 peratus negara-negara di peringkat global, seminggu selepas pengumuman dibuat oleh kerajaan negara itu.

Rabu lalu, Arab Saudi mengumumkan rancangan membida penganjuran Piala Dunia 2034, sejam selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan kenyataan mengenai rancangannya bagi Piala Dunia 2030 dan menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membida bagi edisi 2034.

Negara itu menyatakan minat mereka selepas FIFA mengumumkan hanya pembida dari Asia dan Oceania sahaja akan dipertimbangkan untuk edisi 2034.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) antara yang terawal menyuarakan sokongan kepada Arab Saudi dalam kempen negara itu membida tuan rumah Piala Dunia 2034 baru-baru ini.

Terbaharu, beberapa buah negara lain turut menyatakan sokongan kepada Arab Saudi seperti Thailand, Eritrea dan Afrika Selatan.

Tidak dinafikan hasrat yang disuarakan oleh Arab Saudi mendapat sokongan meluas dari rantau di seluruh dunia termasuk daripada konfederasi seluruh benua membabitkan 90 negara setakat ini.

Arab Saudi pastinya mahu mengikut jejak langkah Qatar setahun selepas menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah yang diklasifikasikan sebagai berjaya oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Sokongan itu menunjukkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap hasrat Arab Saudi sebagai satu negara Asia yang mampu menyajikan sebagai tuan rumah Piala Dunia selain Qatar pada 2022, Korea Selatan dan Jepun pada temasya 2002.

Artikel Berkaitan:

AFC secara rasmi dalam satu kenyataan turut menyatakan sokongannya padunya kepada bidaan Piala Dunia Arab Saudi 2034 sejurus selepas ia diumumkan.

Momentum Arab Saudi pula tidak sabar untuk membentangkan visinya untuk meraih sokongan agar mendapat hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia dengan mempamerkan kekayaan budaya, warisan dan kemesraan yang bakal ditawarkan.

Kerajaan Arab Saudi yang melabur besar dalam bola sepak dan pembangunan Liga Pro mereka sepanjang 12 bulan lalu akan mengumumkan pelbagai tawaran lengkap yang menjanjikan edisi luar biasa berbanding penganjuran Piala Dunia FIFA sebelum ini.

Perlu diingat, negara itu telah menjadi tuan rumah dalam beberapa acara sukan di peringkat antarabangsa sepanjang tahun-tahun sebelum itu dalam usahanya mengukuhkan kedudukannya sebagai hab global untuk sukan dan hiburan.

Antara sukan antarabangsa yang pernah dianjurkan ialah Grand Prix Formula 1, WWE Crown Jewel, Piala Super Sepanyol dan Piala Super Itali yang membuktikan kerajaan Arab Saudi mempunyai keupayaan untuk menganjurkan sebarang sukan bertaraf dunia.

Lebih menarik, AFC telah memilih Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) sebagai menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Asia AFC 2027 pada awal tahun ini.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah kejohanan bola sepak berprestij itu diadakan di bumi Arab Saudi selain negara itu pernah muncul juara sebanyak tiga kali pada 1984, 1988 dan 1996.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!