Pertahan hak Israel umpama satu penghinaan - Hishammuddin
SHAH ALAM - Tindakan sesetengah negara yang membela tindakan Israel membunuh rakyat Palestin dengan alasan mahu mempertahankan diri merupakan satu penghinaan kepada negara itu.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana rakyat Palestin telah menderita lebih 50 tahun kerana dijajah oleh zionis.
“Adalah satu penghinaan apabila sesetengah negara bercakap mengenai hak Israel untuk mempertahankan diri, tetapi tiada satu pun perkataan keluar mengenai rakyat Palestin ketika merekalah yang terus disembelih dan mereka lah yang dijajah lebih 50 tahun.
“Kebenarannya, rakyat Palestin ialah mangsa di sini. Tiada orang lain lebih derita dibanding dengan rakyat Palestin akibat tindakan kurang ajar Israel,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Rabu.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, kerajaan Israel dijangka akan menggunakan taktik menyerang balas dengan niat untuk ‘mematikan’ Pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam, atau ‘memusnahkan’ kelengkapan pihak lawan mereka.
Media antarabangsa melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk membanjiri kawasan Selatan, yang terdahulu sempadannya berjaya dilepasi tentera dari Palestin.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, banyak rumah dimusnahkan, angka kematian meningkat dan rakyat Palestin dalam keadaan sangat derita.
Tambah beliau, situasi yang berlaku kini amat melampau dan ia bukan sahaja penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia tetapi juga menghina nilai kemanusiaan.
“Kita mesti jelas, apa yang berlaku tidak lain tidak bukan merupakan satu jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kita mesti terus berusaha demi kebebasan, kemerdekaan dan keadilan buat saudara mara kita yang ditindas di Palestin. Semoga ALLAH memberkati usaha kita dan semoga kebebasan dan keamanan menjadi milik saudara mara kita di Palestin, insya-ALLAH,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!