FAM perlu ada pelan sokongan

Skuad Harimau Malaya kini dalam persiapan akhir sebelum berdepan India dalam aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 pada Jumaat.
Skuad Harimau Malaya kini dalam persiapan akhir sebelum berdepan India dalam aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 pada Jumaat.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mempunyai perancangan sokongan pada masa depan jika berdepan situasi luar jangka membabitkan pasukan yang mengambil bahagian pada Pestabola Merdeka.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, ia akan memastikan penganjuran kejohanan tersebut dapat berjalan lancar dan tidak menjejaskan objektif pasukan negara.

“Namun, kita juga kena faham pasukan kelas A ini kalau dijemput saat akhir, mereka tak akan terima juga. Takkan kita nak lawan pasukan lemah seperti Bhutan dan Mongolia lagi?

“Jadi, sudah tentu FAM kena ada pelan B bagi mengelakkan perkara sebegini terjadi lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Selasa, FAM mengumumkan Palestin yang menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 susulan tidak dapat berlepas ke Kuala Lumpur kerana situasi tegang di negara berkenaan.

Sebelum itu, Lebanon juga menarik diri dengan alasan undian Kelayakan Piala Dunia 2026 menyaksikan mereka diundi satu kumpulan dengan Palestin bagi tujuan merahsiakan taktikal pasukan.

Penarikan diri Palestin menyaksikan Malaysia kekal akan bertemu India di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat, manakala Tajikistan kini mendapat bye dan akan terus layak ke final pada Selasa.

Namun, jika tewas, skuad kendalian Kim Pan-gon itu hanya akan bermain satu perlawanan kerana tiada aksi penentuan tempat ketiga/keempat.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus menyaksikan misi Malaysia untuk mendapatkan dua aksi kompetitif sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 bulan depan dan kempen Piala Asia di Qatar Januari nanti tidak kesampaian.

Mengulas mengenai peluang Malaysia berdepan India, Irfan Bakti menyifatkan lawan yang menghuni ranking ke-102 dunia itu bukan calang-calang pasukan.

“Dalam situasi ini Malaysia kena menang berdepan India, jika tidak kita hanya akan beraksi satu perlawanan dan sudah tentu ia tidak akan memberikan kelebihan kepada Pan-gon dalam usaha menyiapkan pasukan.

“Paling penting, pasukan negara perlu bermain baik seperti ketika menentang China dan Syria dalam aksi persahabatan sebelum ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!