Warga emas maut dilanggar ketika cuba buat pusingan U

Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Batu Pahat - Mersing, Kluang pada petang Rabu.
Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Batu Pahat - Mersing, Kluang pada petang Rabu.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya patah tangan dan kaki semasa motosikal ditunggangnya cuba membuat pusingan U di Kilometer 48 Jalan Batu Pahat - Mersing dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kejadian pada jam 6.16 petang itu melibatkan motosikal Modenas Kriss dinaiki pasangan tersebut dengan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.

"Kemalangan berlaku di kawasan persimpangan lampu isyarat. Motosikal ditunggang mangsa datang dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala pacuan empat roda tersebut dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal terbabit masuk ke laluan pacuan empat roda menyebabkan pacuan empat roda melanggar motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Beliau berkata, ketika kejadian, lampu isyarat menunjukkan warna hijau dari kedua-dua arah tetapi laluan tersebut tidak dibenarkan membuat pusingan U.

Katanya, akibat daripada perlanggaran tersebut menyebabkan warga emas terbabit, Mohd Roslin Ahmad, 64, mengalami kecederaan dalaman, patah lengan dan kaki kiri sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Bahrin, isterinya, Halawati Abdullah, 45, yang membonceng motosikal itu patah tangan kanan dan kaki kiri serta kini menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

"Kedua-dua pasangan tersebut beralamat di Parit Raja, Batu Pahat. Sementara pemandu Toyota Hilux yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan dan berusia 71 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!