[VIDEO] Kerajaan usaha evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik

A
A
A

KUALA LUMPUR - Wisma Putra sedang menyelaras proses evakuasi bagi membawa pulang rakyat Malaysia melibatkan seorang doktor bersama empat ahli keluarganya yang kini berada di Semenanjung Gaza, Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan itu sedang dilakukan dengan kerjasama daripada Kedutaan Filipina di negara berkenaan.

“Ada lima rakyat Malaysia berada dalam laporan kita iaitu seorang ibu dengan tiga anak yang memegang pasport Malaysia. Mereka dilaporkan berada dalam kawasan konflik.

"Kedutaan besar Malaysia sudah dapat hubungi seorang doktor iaitu Dr Nurul Ain Latif, berasal dari Kota Bharu (Kelantan) dan sudah berkahwin dengan warga Palestin.

"Keadaan mereka (Nurul Ain) berada di tempat selamat dan kita juga sedang berusaha melakukan proses evakuasi. Sehingga kini, kita mendapat kerjasama kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan itu," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang ingin mengetahui tindakan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berada di zon konflik Tebing Barat ekoran pertempuran pejuang Hamas dan rejim Israel.

Wisma Putra sebelum ini mengesahkan lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga anaknya berada di Tebing Barat, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Zambry berkata, kerajaan juga sedang memantau kedudukan rakyat Malaysia sekiranya terdapat laporan keberadaan mereka di kawasan konflik.

“Setakat ini belum ada laporan lain melibatkan keberadaan mereka (rakyat Malaysia) selain rombongan di kawasan Baitul Maqdis (namun) mereka telah dikeluarkan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!