Jawi seru masjid, surau Jumaat anjur solat hajat, Qunut Nazilah
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyeru agar masjid dan surau Jumaat di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah selepas solat Jumaat esok.
Menurut Jawi, ikhtiar itu bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.
Katanya, kutipan khas Jumaat bagi membantu meringankan beban ditanggung oleh rakyat Palestin juga akan diadakan pada hari sama di semua masjid dan surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan.
"Ia sebagai lambang solidariti dan ihsan umat Islam susulan penindasan dan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel.
"Semoga dengan doa dan munajat serta memperbanyakkan amalan bersedekah menjadi asbab pertolongan ALLAH SWT dari sebarang bentuk bencana dan musibah," ujarnya menerusi kenyataan.
Setakat Rabu, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan angka kematian di Gaza meningkat hampir 1,000 orang dalam serangan yang memasuki hari keempat.
Memetik laporan CNN, kementerian itu berkata, kira-kira 950 orang terbunuh, manakala 5,000 lagi cedera dalam serangan ke atas Gaza.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Israel berkata, sekurang-kurangnya 1,200 orang maut di Israel, sejak Sabtu lalu.
Menteri pertahanan Israel, Yoav Gallant pada Isnin mengarahkan sekatan sepenuhnya ke atas Gaza, dan akan menghentikan bekalan elektrik, makanan, air serta bahan api ke kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!