'Jambatan sudah tidak selamat, akan dirobohkan'
PASIR GUDANG - [DIKEMAS KINI] Jambatan utiliti bersebelahan jambatan baharu Kampung Perigi Acheh akan dirobohkan selepas berlaku kejadian runtuhan membabitkan sebahagian struktur jambatan berkenaan pada 17 Ogos lalu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pembinaan jambatan baharu menelan kos RM14 juta bermula sejak 2019 itu tidak akan tergendala dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun hadapan.
Jelasnya, kerja-kerja merobohkan jambatan utiliti servis akan dilakukan sebelum hujung bulan ini atas faktor keselamatan penduduk Kampung.
"Saluran utiliti iaitu bekalan air dan elektrik akan dipindahkan ke kawasan lain. Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk meyusun semula kerja pembinaan dengan konsultan dan kontraktor bagi memastikan projek ini tetap siap segera dan mengikut jadual.
"Pada awalnya, kos untuk membina jambatan servis utiliti tersebut adalah sebanyak RM700,000 dan bagi merobohkannya semula, dianggarkan keseluruhan kerugian kita dalam RM1 juta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau tapak projek jambatan itu di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, kajian akan dilakukan oleh JKR pusat bagi mengenal pasti punca sebahagian struktur jambatan servis utiliti berkenaan runtuh.
"Jambatan baharu Perigi Acheh sepanjang 85 meter di kampung ini dibina bertujuan bagi menggantikan struktur jambatan lama yang sebelum ini roboh pada 2016 akibat banjir.
"Kerajaan Johor amat peka dengan kebimbangan penduduk berikutan projek tergendala dan membahayakan penduduk. Tindakan segera sedang diambil bagi memastikan projek ini siap mengikut jadual," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pembinaan jambatan baharu Kampung Perigi Acheh, Mohamad Fazli berkata, projek berkenaan sebelum ini tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Lebih merumitkan keadaan apabila projek itu disambung semula berlaku kejadian runtuhan membabitkan sebahagian struktur jambatan servis utiliti yang terletak di sebelah jambatan baharu Kampung Pergi Acheh yang sedang dibina pada 17 Ogos lalu," ujarnya.
Dalam pada itu, penduduk Zaili chik 70, berharap jambatan baharu Kampung Perigi Acheh dapat disegerakan demi keselesaan penduduk.
"Jambatan sementara yang dibina kini dirasakan sudah tidak selamat. Strukturnya renggang dan berlubang.
"Selain itu dapat dilihat terdapat rekahan di bahagian bawah jambatan itu yang menyebabkan penduduk bimbang sekiranya kejadian tidak diingini," katanya.
Penduduk, Mohd Firdaus Omar, 32, berkata, kejadian runtuhan membabitkan sebahagian jambatan servis utiliti yang berlaku pada Ogos lalu menyebabkan penduduk bimbang dengan keselamatan mereka.
"Kerajaan perlu segera siapkan naik taraf jalan dan jambatan baharu di Kampung Perigi Acheh sebab sudah lama kami menunggu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!