Perlu peruntukan hukuman negara penyebab jerebu dalam AATHP
KUALA LUMPUR - Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) perlu ditambah baik dengan memasukkan peruntukan berkaitan hukuman ke atas negara yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perjanjian tersebut ketika ini mempunyai limitasi di bawah kerangka tidak campur tangan dalam kalangan negara anggota atau kedaulatan mutlak yang menjadi pegangan negara-negara ASEAN.
Justeru beliau menjelaskan, kerajaan akan terus mengkaji penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA) yang disifatkan memiliki beberapa kekangan buat masa ini.
"Bergerak ke depan, mungkin perlu dalam kalangan negara ASEAN untuk memperbaiki AATHP tersebut. Kalau nak naik satu taraf lagi, kita perlu lihat Canada-United State Air Quality Agreement kerana di bawah perjanjian ASEAN sedia ada, tiada tindakan punitif boleh diambil ke atas syarikat atau negara yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
“Ini antara kekangan di bawah kerangka sedia ada. Kita juga telah mengingatkan syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di negara jiran, kerajaan tidak akan mempertahankan mereka sekiranya terlibat dalam pembakaran terbuka di Indonesia,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) sama ada kerajaan boleh melakukan sesuatu yang baharu dalam mengatasi isu jerebu di negara ini kerana langkah yang diambil tidak berkesan dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Sementara itu Nik Nazmi berkata, kerajaan kini menanggung kos yang tinggi ekoran berlaku kesan kesihatan kepada rakyat susulan jerebu yang melanda.
“Memang kos sangat besar, dua hari lepas (berlaku) peningkatan kemasukan pesakit (ke hospital), sampai dua kali ganda sejak IPU (indeks pencemaran udara) terjejas.
“Apabila diterjemahkan, pekerja tidak dapat hadir ke tempat kerja, operasi terpaksa dibatalkan (seperti) berlaku pada tahun 2015, tahun 2019, acara-acara besar berhadapan pembatalan sebab jerebu
“Buat masa ini kita percaya sememangnya ASEAN dapat bergerak lebih baik sekiranya bersama, perlu ada pendekatan terbuka untuk ambil tindakan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!