Ketua PBB gesa tindakan, cegah konflik Israel-Gaza merebak
NEW YORK - Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Rabu memberi amaran terhadap konflik Israel-Gaza pada ketika ini akan merebak, lapor Xinhua.
"Kita mesti mengelak konflik ini merebak. Saya bimbang tentang insiden berbalas serangan baru-baru ini di sepanjang Blue Line (garis sempadan antara Israel dan Lubnan) dan serangan yang dilaporkan baru-baru ini dari selatan Lubnan," katanya pada taklimat media.
"Saya merayu kepada semua pihak - dan mereka yang mempunyai pengaruh ke atas pihak tersebut - untuk mengelakkan ketegangan dan konflik itu merebak."
Orang awam mesti dilindungi sepanjang masa. Undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati dan dipertahankan, kata ketua PBB itu.
"Kira-kira 220,000 rakyat Palestin kini berlindung di 92 kemudahan yang dikendalikan oleh Agensi PBB untuk Pelarian Palestin di seluruh Gaza. Kemudahan PBB dan semua hospital, sekolah dan klinik tidak boleh menjadi sasaran," katanya.
Bekalan penting yang menyelamatkan nyawa termasuk bahan api, makanan dan air, mesti dibenarkan masuk ke Gaza.
Terdapat keperluan untuk akses kemanusiaan yang cepat dan tanpa halangan, katanya.
Guterres juga berterima kasih kepada Mesir atas penglibatannya yang membina dalam memudahkan akses kemanusiaan melalui Rafah, satu-satunya pintu masuk antara Mesir dan Semenanjung Gaza dan menyediakan Lapangan Terbang El Arish untuk bantuan kritikal. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!