Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara esok
SHAH ALAM - Pemuda Perpaduan mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, himpunan tersebut dijangka berlangsung pada Jumaat ini di Perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas selesai Solat Jumaat.
“Himpunan ini memanggil seluruh rakyat menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat serta menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan ini
“Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas Palestin wajar dibela dan diberikan sokongan tanpa berbelah bahagi
“Pemuda Perpaduan berhimpun atas dasar dan semangat kemanusiaan, kepekaan, kecaknaan dan kepedulian kepada apa yang menimpa terhadap Palestin,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Khamis.
Pemuda Perpaduan merupakan gabungan yang dianggotai oleh Dr Muhamad Akmal, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Mohd Hasbie Muda.
Dalam pada itu, ujar Dr Muhamad Akmal, Pemuda Perpaduan tegas mengecam sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan dalam konflik Perang Palestin-Israel dan menggesa agar ia dinokhtahkan segera setelah mengambil kira kesengsaraan serta kehilangan nyawa orang awam yang tidak terkira dari kedua-dua belah pihak.
Menurutnya, pelanggaran perjanjian oleh rejim Israel dan penindasan berterusan terhadap hak asasi rakyat Palestin menjadi jenayah yang tidak diadili di muka pengadilan sejak sekian lama sekaligus menyerlahkan sikap pilih kasih dari badan-badan antarabangsa.
“Masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia perlu sedar peperangan yang berlarutan ini melangkaui kaca mata agama tetapi ianya adalah jenayah kemanusiaan.
“Bantahan terbuka perlu dizahirkan. Inilah masanya rakyat Malaysia bersatu hati menunjukkan solidariti kepada Palestin yang mempertahankan kedaulatan dan hak rakyatnya demi menamatkan konflik peperangan yang tidak menguntungkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!