Festival Kembara Warisan Bangsa perkenal seni, budaya

Dari kiri: Pengurus Kanan Tugas Tugas Khas Sinar Harian, Hashim Anang; Penaung Persidaya, Mohd Sulhie Yusuf; Penasihat Legasi Cinta Seni, Muhamad Azizan Ahmad Mahayuddin.
Dari kiri: Pengurus Kanan Tugas Tugas Khas Sinar Harian, Hashim Anang; Penaung Persidaya, Mohd Sulhie Yusuf; Penasihat Legasi Cinta Seni, Muhamad Azizan Ahmad Mahayuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Orang ramai dijemput hadir ke Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 yang bakal berlangsung pada Sabtu ini (14 Oktober) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Program itu adalah anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya), Persatuan Legasi Cinta Seni dan Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar).

Penaung Persidaya, Mohd Sulhie Yusuf berkata, tumpuan utama program adalah memperkenalkan kepelbagaian kesenian dan budaya semua kaum di Malaysia menerusi konsep teater tradisional.

“Konsep yang diketengahkan adalah gambaran seorang raja berjalan dalam negeri taklukannya dan melihat kesenian budaya rakyatnya kemudian memilih yang terbaik untuk melakukan persembahan di istana.

“Ada tiga plot dalam persembahan ini, di mana pada akhirnya kita akan menggabungkan kesemua persembahan sebagai penutup program. Ia bertujuan untuk mengangkat rasa cinta kepada keharmonian perpaduan negara kerana seni jarang diangkat sebagai medium perpaduan secara terbuka.

“Jadi, kami melihat ruang ini amat bermakna untuk ibubapa yang mahu mendedahkan kepada anak-anak mengenai kesenian dan budaya kaum lain,” katanya ketika sidang media di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Ujar beliau, pihaknya menerima peruntukan daripada Kementerian Perpaduan Negara sebanyak RM80,000 manakala Legasi memperoleh geran bernilai RM80,000 daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Tambah Sulhie, pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung bermula jam 8 pagi antaranya pertandingan mewarna, zumba (senamrobik), cabutan bertuah, permainan tradisional, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), booth jualan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan proton dan jualan kraf batik.

Artikel Berkaitan:

“Setiap individu yang menyertai aktiviti-aktiviti ini akan diberi cenderahati dan bagi persembahan teater tradisional itu dijangka bermula pada jam 8.30 malam.

“Kami menjemput penari daripada kelab seni dan budaya seluruh negara bagi memastikan persembahan yang disampaikan mampu memukau penonton seperti Menora, Warisan Seni Samudera, gabungan kumpulan tarian Makyung, tarian Orang Asli dari Pulau Carey dan lain-lain,” jelasnya.

Tambah beliau, segala fasiliti lengkap telah disediakan di lokasi festival berlangsung termasuk surau, tempat letak kenderaan percuma serta jualan makanan dari BoxKL dan peniaga kecil lain.

“Saya menyeru agar semua masyarakat Lembah Klang mengambil kesempatan ini untuk membawa anak-anak mereka hadir ke program ini kerana ruang ini jarang berlaku yang mengumpul semua budaya kaum.

“Kita mengolah aktiviti program supaya lebih kreatif melalui bentuk teater Makyung dengan mengangkat kesenian pelbagai kaum agar dapat mendidik generasi baru terhadap nilai hormat kepada kaum lain melalui seni budaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!