JIPS pantau pegawai, anggota polis hidup mewah - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

GEORGE TOWN - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) diarahkan untuk memantau pegawai atau anggota polis yang hidup mewah tidak setara dengan jawatan dan gaji bulanan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan membantu mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah guna kuasa atau perbuatan rasuah selain tata kelola yang salah.

Menurutnya, integriti memainkan peranan besar dalam pasukan polis dan mampu meningkatkan imej serta kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan itu.

"Bila imej PDRM meningkat, saya percaya rakyat akan percaya semula kepada PDRM dan itu yang sangat mustahak.

"Saya nak PDRM dipandang mulia pada mata masyarakat, jadi tata kelola yang baik dan berintegriti menjadi keutamaan saya sejak mengambil alih pucuk pimpinan PDRM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan peringatan hari pasukan Polis Marin ke-76 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di sini pada Khamis.

Razarudin berkata, amaran Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain kepada pegawai dan anggota hidup mewah kerana bersubahat dengan sindiket jenayah adalah berpaksikan kepada fokus beliau.

Malah katanya, perkara itu telah dibincangkan bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Suhaily bagi melihat pegawai-pegawai yang hidup mewah bagi mengelak mereka terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Tapi kalau dia memang mampu hidup mewah, contoh isteri dia berjawatan besar dan mempunyai gaji RM80,000 sebulan, dia nak beli kapal terbang pun tidak apa.

"Tetapi ini pegawai atau anggota yang tidak berkemampuan dan tidak selari dengan gaji pendapatan isi rumahnya yang hidup mewah, ini kita akan lihat,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin tidak menafikan ada di kalangan pegawai dan anggota yang terlibat dengan sindiket dan mereka terbabit telah diambil tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 susulan bersekongkol dengan sindiket.

"Jika kita lihat, sejak Januari hingga Ogos lalu, seramai 90 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebanyak 881 siasatan tata tertib dibuka polis.

“Namun sekiranya dibandingkan dengan jumlah keanggotaan 130,000 polis seluruh negara, hanya 0.06 peratus saja terpalit dalam kesalahan dan jumlah ini sangat kecil namun kita akan baiki kelemahan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!