Jangan benarkan warga asing pinjam kenderaan - Polis

Polis mengambil tindakan terhadap warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen
Polis mengambil tindakan terhadap warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen dan menyalahgunakan lesen kenderaan motor (LKM) bagi tujuan perniagaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd Yussof berkata, mereka boleh dikenakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, malah kenderaan juga akan disita.

"Kenderaan yang disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dibawa ke balai polis untuk proses memanggil pemilik yang sah untuk tindakan selanjutnya.

"Tindakan warga asing memandu tanpa lesen yang sah boleh membahayakan diri sendiri malah membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama warga asing yang melakukan kesalahan gagal mematuhi undang-undang.

Selain itu katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan melalui Op Khas pada 3 Oktober hingga 8 Oktober lalu telah mengeluarkan 278 saman terhadap pelbagai kesalahan trafik yang dilakukan warga asing.

"Sebanyak (59) saman tiada lesen memandu, (51) saman tidak pakai tali pinggang, (47) saman cukai jalan tamat tempoh dan (25) saman tiada perlindungan insurans.

"Selain itu (15) saman masing-masing tiada nombor pendaftaran, tidak pamer 'P' dan tidak pakai topi keledar manakala (51) lagi lain-lain kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam operasi dilakukan, sebanyak 27 motosikal yang ditunggang warga asing telah disita serta tujuh buah kereta dan sebuah lori.

Tambahnya, tiga warga asing telah ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Operasi ini dilaksanakan di 23 lokasi tumpuan yang dikenal pasti mengikut daerah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!