Isu 'body shaming', Eira Aziera kekal bayar ganti rugi RM100,000
PUTRAJAYA - Pempengaruh media sosial, Eira Aziera hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan dia membayar ganti rugi RM100,000 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan 'body shaming' seorang pesuruhjaya sumpah wanita menerusi Facebook Live, tiga tahun lepas.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah sebulat suara menolak rayuan Eira Aziera atau nama sebenarnya Noorazira Pissal selepas mendapati rayuan itu tidak mempunyai merit.
Ahmad Zaidi yang membacakan keputusan hari ini berkata Mahkamah Rayuan mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa kata-kata ataupun perkataan yang telah diluahkan oleh perayu (Noorazira) terhadap Suharnizan Md Sidek adalah fitnah.
"Kata-kata yang diucapkan oleh perayu adalah jelas, dan tiada keperluan untuk memanggil pakar bahasa bagi menentukan sama ada perkataan itu adalah fitnah atau tidak.
"Berdasarkan rekod-rekod rayuan, kami juga bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa elemen-elemen (fitnah) lain telah dibuktikan. Oleh itu, rayuan berhubung liabiliti ditolak dan dapatan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kos ditetapkan sebanyak RM10,000," katanya.
Berhubung rayuan balas Suharnizan terhadap ganti rugi RM100,000, Ahmad Zaidi berkata, mahkamah mendapati jumlah ganti rugi yang diberikan oleh hakim bicara adalah munasabah.
"Mahkamah ini mendapati jumlah yang ditaksirkan munasabah. Ia tidak keterlaluan atau tidak mencukupi, dan hakim Mahkamah Tinggi telah mengambil kira faktor buli siber dan body shaming dalam memberikan jumlah ganti rugi.
"Kami juga mendapati rayuan balas itu tidak mempunyai merit dan kuantum (yang ditetapkan sebelum ini) dikekalkan. Oleh itu, rayuan balas ditolak dengan kos RM10,000," katanya pada prosiding secara dalam talian.
Noorazira diwakili peguam Yahaya Ahmad manakala Suharnizan diwakili peguam Rasheed Hassan dan Ashraf Hilmy.
Pada 30 Mei 2022, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Noorazira selaku defendan membayar ganti rugi RM100,000 kepada Suharnizan selepas membenarkan tuntutan samannya terhadap pempengaruh media sosial itu.
Suharnizan selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 13 Oktober 2020 selepas mendakwa Noorazira mengeluarkan perkataan-perkataan kesat dan menghina rupa fizikal selain memaparkan gambar Suharnizan bersama dua anaknya menerusi video secara langsung dalam Facebook defendan atas nama Eira Aziera.
Dakwa Suharnizan, tindakan defendan itu susulan beliau menulis komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ semasa defendan membuat video 'live' di Facebooknya pada 18 Ogos 2020.
Suharnizan mendakwa kata-kata kesat defendan itu tular di media sosial serta telah dimuat naik, antaranya di Facebook 'Makcik Bawang Channel' dan 'Makcik Kiah Channel' yang mempunyai ribuan pengikut.
Akibat kata-kata yang dikeluarkan oleh defendan, reputasi plaintif telah tercemar selain beliau mengalami tekanan perasaan, trauma, kemurungan dan hilang keyakinan diri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!