Dua daerah di Kelantan masih dilanda banjir

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Keadaan banjir gelombang kedua di Kelantan bertambah baik dan kebanyakan mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini sudah mula pulang ke rumah masing-masing sejak awal pagi tadi.

Sehingga jam 6 petang, berdasarkan portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keadaan banjir di dua daerah utama di negeri ini iaitu Pasir Mas dan Jeli juga semakin baik.

Jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 1,322 orang melibatkan 490 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS di dua jajahan tersebut.

Melalui tinjauan Sinar Harian, keadaan di dua jajahan tersebut semakin baik ekoran air mula mengalir ke daerah Tumpat bermula awal pagi tadi.

Walau bagaimanapun, sehingga jam 6 petang ini, masih tiada PPS dibuka di daerah tersebut.

Sehingga jam 6 petang ini, mangsa yang masih berada di Pasir Mas ialah seramai 1,172 orang melibatkan 453 keluarga yang di tempatkan lima PPS.

Di jajahan Jeli pula seramai 150 mangsa daripada 37 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Jeli 1 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas.

Hanya satu sahaja sungai utama yang masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang iaitu 10.00 meter (bahaya 9.00) manakala sungai-sungai lain sudah kembali ke paras normal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!