Misi angkasawan pertama negara 'balik modal'
KUALA LUMPUR - Penglibatan Malaysia dalam bidang sains angkasa lepas termasuk menghantar angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 16 tahun lalu berbaloi.
Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang berkata, susulan kejayaan itu, negara berupaya menjalankan penyelidikan dalam sains mikro graviti merangkumi bidang perubatan dan farmaseutikal, saiz hidupan serta bioteknologi.
“Semua penyelidikan telah menghasilkan kertas kerja saintifik dan diterbitkan dalam jurnal tempatan serta antarabangsa sekali gus memberi sumbangan kepada penjanaan ilmu dan pengetahuan baharu.
“Sebanyak lapan paten daripada penyelidikan di ISS (Stesen Angkasa Antarabangsa) telah difailkan di Malaysia dan juga antarabangsa serta satu trademark,” katanya bagi menjawab soalan bertulis Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, jumlah sebenar yang ditanggung kerajaan untuk menghantar Sheikh Muszaphar ke angkasa sebanyak RM16 juta susulan kos melatih dan menghantar angkasawan Malaysia ke ISS ditanggung Rusia menerusi program ‘off-set’.
“Kerajaan berbelanja sekitar RM16 juta merangkumi kos menjalankan misi saintifik, aktiviti pendidikan, proses pemilihan angkasawan, latihan di NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan) dan juga insurans angkasawan.
“Kerajaan telah menerima pulangan RM16 juta ini dalam bentuk ROV (pulangan nilai) menerusi penjanaan ilmu, pembangunan bakat dan juga perkongsian pakar dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu Lih Kang berkata, kerajaan juga telah merangka program pembangunan teknologi pelancaran angkasa untuk meneroka angkasa lepas menerusi Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 (MSE).
Bagi tujuan itu beliau menjelaskan, negara perlu mempunyai infrastruktur kritikal fasiliti pelancar seperti landasan dan menara pelancaran, sistem kawalan, stesen integrasi pelancaran roket, fasiliti kawalan misi, sistem komunikasi serta gudang penyimpanan bahan bakar.
“Selaras dengan pelaksanaan Teras 4 DAN 2030 yang menggalakkan penglibatan industri tempatan dalam pembangunan sektor angkasa negara, inisiatif pembangunan infrastruktur kritikal ini akan dilaksanakan melalui kerjasama awam dan swasta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!