Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah rai kepelbagaian bangsa, agama negara ini

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah telah terbukti mampu meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, melalui pembawaan sederhana manhaj itu, ia mampu mengimbangi fahaman yang terlalu ketat dan fanatik dengan fahaman yang terlalu longgar dan liberal.

"Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang konsisten diamalkan sejak zaman-berzaman di negeri Perak juga, sebenarnya telah berjaya mengekalkan kestabilan politik, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan umat Islam sehingga hari ini.

"Hal itu jugalah yang telah memberikan impak positif bagi negeri ini khususnya dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan,” katanya ketika berucap menutup Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Muzakarah selama tiga hari bermula Selasa dan berakhir hari ini itu menyaksikan pembentangan 12 kertas kerja daripada tokoh ilmuan tempatan dan luar negara termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Jordan.

Semalam, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan muzakarah berkenaan.

Dalam pada itu, Saarani berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam di negeri Perak khasnya dan di Malaysia amnya untuk terus mempertahankan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"... dan bersama-sama mengekang kemasukan pelbagai aliran lain yang boleh dianggap sebagai anasir dan racun sehingga boleh mengelirukan masyarakat seterusnya menggugat keharmonian umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau juga berharap muzakarah itu menjadi medan pencerahan masyarakat di Perak dan Malaysia dalam menghayati aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai Al Firqah An Najiah dalam aspek akidah, fikah dan tasawuf.

Sementara itu, hasil muzakarah berkenaan turut menggariskan tujuh deklarasi iaitu Deklarasi Ipoh yang antaranya Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan majoriti ulama dan umat Islam sepanjang zaman semenjak generasi para Salaf dan Khalaf sehingga hari ini.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang membacakan deklarasi itu berkata Ahli Sunnah Wal Jamaah juga berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah dan para sahabat baginda dalam memahami dan mengamalkan agama Islam.

"Oleh itu, ia perlulah difahami, dihayati, dipelihara dan dilindungi, serta usaha-usaha memperkasakan Ahli Sunnah Wal Jamaah ini perlulah dilakukan secara menyeluruh dan berterusan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!