PASRelief naik taraf kemudahan hospital di Gaza
ALOR SETAR - PASRelief akan menaik taraf kemudahan di sebuah hospital di Gaza City Centre dengan segera susulan situasi di Palestin yang semakin meruncing.
Pengerusi PASRelief, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Hospital Rakan Pesakit yang dibina pada tahun 1982 itu beroperasi 24 jam sehari dan menerima antara 7,500 sehingga 8,000 pesakit sebulan namun dalam keadaan daif.
Menurutnya, hospital yang sudah berusia 42 tahun itu memerlukan kos penyelenggaraan dan menaik taraf yang dianggarkan mencecah RM500,000.
“Serangan besar-besaran ke Semenanjung Gaza oleh Israel turut meluaskan sasarannya kepada petugas perubatan dan hospital.
“Lebih menyedihkan, keadaan kemudahan perubatan di hospital sangat kritikal kerana kekurangan ubat ubatan, peralatan dan bekalan elektrik terputus. Jumlah kematian pula meningkat, selain lebih 4,360 orang mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah memaklumkan, hospital berkenaan perlu segera dinaik taraf kerana terlalu uzur, yang mana kemudahan bilik bedah, sistem pengudaraan dan elektrik serta ruangan rawatan am perlu dibaik pulih bagi menampung pesakit yang semakin meningkat.
“Kita bercadang untuk mulakan pembinaan dan menaiktaraf Hospital Rakan Pesakit dalam minggu ini dengan bantuan pasukan Profesional Muda (JPro) Pas dalam kluster Kejuruteraan dan Alam Bina bersama pasukan kerja di Gaza.” ujarnya.
Menurutnya, biar pun situasi di Gaza agak getir dan menyebabkan pelaksanaan projek menaiktaraf hospital tersebut mencabar terutama untuk mendapatkan bekalan bahan berikutan kenaikan kos semasa peperangan, namun usaha perlu disegerakan bagi menyelamatkan mangsa.
“Atas dasar tanggungjawab, keprihatinan dan kemanusiaan, PASRelief mohon seluruh rakyat Malaysia menyokong projek ini.
“Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Tabung Kemanusiaan PASRelief: 5640 7061 4481 (Maybank) atau melalui: https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-pasrelief.
“Untuk maklumat lanjut boleh hubungi hotline PASRelief di talian 017-500 1144,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!