Pesanan isteri Nadir al-Nuri dari Gaza begitu menyentuh hati

MUHAMMAD NADIR AL-NURI kini berada di Malaysia sejak tiga minggu lalu, tetapi isteri dan tujuh anaknya berada di Gaza. -Foto: Facebook Nadir Al-Nuri
MUHAMMAD NADIR AL-NURI kini berada di Malaysia sejak tiga minggu lalu, tetapi isteri dan tujuh anaknya berada di Gaza. -Foto: Facebook Nadir Al-Nuri
A
A
A

RIAK wajahnya kelihatan tenang tatkala menceritakan insiden serangan Israel terhadap Palestin sejak enam hari lalu, tetapi dalam hati tiada, hanya ALLAH SWT sahaja yang MAHA MENGETAHUI.

Itu yang penulis rasakan ketika menonton Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi Webinar Khas Isu Terkini Palestin anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) disiarkan dalam platform media sosial persatuan itu pada Rabu.

Cerita aktivis kemanusiaan itu yang kini berada di Malaysia sejak tiga minggu lalu kerana urusan kerja, beliau sempat menghubungi isterinya, Reem Al-Minawi yang berada di Gaza bersama tujuh anak mereka.

Ketika itu, isterinya yang juga warga Palestin bersama anak-anak dikhabarkan dalam keadaan baik dan selamat.

"Pada asalnya, mereka duduk di rumah kami, tetapi apabila serangan semakin dekat dengan kediaman, akhirnya mereka keluar menuju ke rumah adik ipar.

"Ditakdirkan ALLAH SWT, tiba-tiba sahaja masjid (al-Susi) yang terletak berhadapan dengan rumah adik ipar saya dibom. Rumah yang didiami mereka juga musnah dan tidak lagi dapat diduduki," katanya pada program berkenaan.

Dalam nada yang masih terkejut, ujar Muhammad Nadir al-Nuri, ada beberapa pemuda masuk ke dalam kawasan rumah tersebut untuk menyelamatkan mereka dan membawa ke tempat yang selamat.

"Anak kecil saya, Ibrahim yang berumur satu tahun setengah yang didukung isteri diambil daripada dakapannya kerana isteri saya tidak dapat berjalan dengan baik sebab dalam keadaan takut.

Artikel Berkaitan:

"Apabila dibawa keluar dari rumah, mereka menyaksikan ketulan dan cebisan manusia yang hancur lebur batang tubuh mereka. Ada 11 orang syahid dalam insiden berkenaan," katanya.

MUHAMMAD NADIR AL-NURI ketika berkongsikan kisah yang berlaku di Semenanjung Gaza dalam program Webinar Khas Isu Terkini Palestin anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menerusi platform media sosial persatuan itu pada Rabu.
MUHAMMAD NADIR AL-NURI ketika berkongsikan kisah yang berlaku di Semenanjung Gaza dalam program Webinar Khas Isu Terkini Palestin anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menerusi platform media sosial persatuan itu pada Rabu.

Walaupun berhadapan situasi mencemaskan itu, Reem Al-Minawi sempat menitipkan pesanan buat suami tercintanya agar meneruskan perjuangan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang perjuangan Palestin demi agama Islam.

Ujar Muhammad Nadir Al-Nuri, ketika mereka berbincang untuk dirinya pulang semula ke Gaza bagi melihat sendiri keadaan dan memastikan keselamatan mereka, berikut respons yang diberikan wanita itu;

"Wahai Nadir, lebih elok abang tinggal di Malaysia memberikan khidmat kepada Palestin dan pembebasannya.

"Abang boleh bekerja, memberikan kesedaran dan menolak orang untuk bertindak. Kalau abang pulang ke sini, yang abang dapat bela dan jaga hanyalah kami berlapan.

"Namun kalau abang tinggal di Malaysia, abang akan dapat memberikan kesedaran dan menyuntik tindakan untuk seluruh rakyat Palestin.

"Manfaatnya lebih besar kalau abang berada di bumi Malaysia. Abang jangan sekali-kali berfikir untuk balik ke bumi Gaza dan Palestin ketika ini."

Lantaran nasihat yang diberikan isterinya itu, Muhammad Nadir Al-Nuri akur dengan cadangan tersebut.

Selepas itu, puak Zionis Israel meledakkan bom meletupkan pintu sempadan menyebabkan tiada siapa boleh keluar dan masuk ke bumi Gaza.

"Bukan keluarga saya yang hendak saya ceritakan. Ya, keluarga saya orang Palestin, anak-anak saya warganegara Malaysia, tetapi mereka sebahagian dari bumi Gaza yang sarat dengan pengorbanan.

"Mereka yang ada di sana tahu bila-bila masa sahaja nyawa mereka boleh ditarik demi pembebasan bumi al-Aqsa dan Kota Baitulmaqdis. Itulah pesanan isteri saya," ungkapnya.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia berjuang untuk bumi Palestin.

"Ketika ini, mereka sangat memerlukan kita. Bukan sekadar doa dan sumbangan, tetapi mereka memerlukan kehadiran kita di media sosial untuk sama-sama menyatakan sokongan dan solidariti terhadap apa yang sedang berlaku ke atas mereka," ungkapnya.

Sehingga artikel ini ditulis, Kementerian Kesihatan Palestin lapor AFP berkata, jumlah kematian di Semenanjung Gaza meningkat kepada 1,200 mangsa dan kira-kira 5,600 lagi orang cedera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!