Presiden Ukraine dianggap hipokrit, bela tindakan Israel - ABIM
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky kerana membela tentera Israel dan melemparkan tuduhan terhadap tentera Hamas sebagai pengganas.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya mengecam tindakan itu dan menganggapnya sebagai hipokrit kerana membela penceroboh rejim Zionis yang membedil wilayah Palestin tanpa henti.
“ABIM mengecam sikap Zelensky yang membela tindakan penceroboh rejim Zionis yang terus membedil wilayah Gaza di wilayah Palestin yang bergolak.
“Sedangkan dalam isu penentangan Ukraine terhadap pencerobohan Rusia, lagu yang didendangkan mereka adalah perjuangan rakyat Ukraine mempertahan tanah air mereka,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, tindakan itu wajar dilaksanakan menerusi gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan tersebut.
“ABIM juga mendesak PBB menubuhkan serta merta Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi mendakwa jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!