Belanjawan 2024: Fokus perbanyak jalan raya berturap, bekalan elektrik, air

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat diharap dapat memberikan fokus kepada pembangunan infrastruktur di Sabah khususnya di kawasan luar bandar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan diharap dapat mengambil langkah berkesan dalam membangunkan negeri ini seperti dijanjikan sejak sekian lama terutama bagi kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dalam arus pembangunan.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi, sudah tiba masanya kerajaan fokus untuk memperbanyakkan jalan raya berturap, bekalan air bersih dan elektrik yang dilihat agak kritikal dan membelanggu kehidupan rakyat Sabah.

"Bagi melengkapkan kemudahan asas ini sudah tentu memerlukan satu peruntukan yang agak tinggi kerana ia melibatkan tiga komponen insfastruktur asas yang diperlukan oleh rakyat Sabah bagi menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

"Justeru menjadi harapan rakyat dalam belanjawan kali ini Sabah akan memperoleh peruntukan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya bagi memastikan insfrastruktur asas dapat ditingkatkan di negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Bung Moktar lagi, walaupun Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberikan jaminan isu insfrastruktur asas akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun namun ia bukan perkara mudah tanpa bantuan daripada kerajaan Pusat.

"Bagi menyelasaikan tiga isu besar ini iaitu jalan raya, air dan elektrik memerlukan kos peruntukan kewangan yang tinggi sesuai dengan keluasan Sabah," ujarmya.

Bung Moktar berkata, begitu juga mengenai peruntukan untuk meneruskan pembinaan pakej Lebuh Raya Pan Borneo yang terbengkalai dan masih belum dilaksanakan turut memerlukan peruntukan yang besar.

Artikel Berkaitan:

"Sistem perhubungan yang baik akan menjadi akses bagi pergerakan keluar dan masuk antara daerah ke daerah termasuk dari Sarawak dan Brunei.

"Kita juga perlu bersedia apabila jalan raya antara Kalabakan ke Serudung siap yang akan menghubungkan ke Simanggaris di Kalimantan susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang bakal membawa perubahan dan pendapatan rakyat tempatan Sabah," katanya.

Beliau dalam pada itu turut berharap menerusi Belanjawan 2024, kerajaan mengkaji kadar peruntukan untuk setiap ahli parlimen yang kini sekitar RM2 juta setahun bagi kawasan masing-masing.

"Peruntukan ini agak kecil untuk membangunkan satu kawasan Parlimen berbanding dengan keluasan dan keperluan rakyat terutama dari segi penyediaan insfratruktur asas.

"Bayangkan bagi kawasan Parlimen Kinabatangan sahaja ia seluas Pahang dengan peruntukan yang ada agak sukar untuk memenuhi keperluan pembangunan untuk rakyat.

"Justeru kerajaan perlu mengambil kira faktor ini dengan menambah jumlah peruntukan untuk setiap ahli parlimen kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!